
WASHINGTON, 12 Julai – Seorang ahli kongres terkemuka Amerika Syarikat, (AS) Ro Khanna dari parti Demokrat mendakwa ditahan peneroka haram Yahudi bersenjata ketika melakukan lawatan ke kawasan yang diduduki Israel di Tebing Barat.
- Khanna menuduh tentera Israel bersubahat dalam kejadian itu.
- Peneroka mengacukan raifal M4 buatan Amerika ketika menahan Khanna dan beberapa rakyat Amerika lain.
- Rakaman video dan keterangan tunjuk sekumpulan lelaki bersenjata menghalang laluan sambil memaki hamun dalam Ibrani dan Arab.
- Anggota Angkatan Pertahanan Israel berbincang dengan peneroka sebelum mengambil alih sekatan; Khanna menghubungi Kedutaan AS dan polis Israel, lalu dibenarkan meneruskan.
Ahli politik dari California itu ditahan bersama beberapa lagi warga AS.
Beliau turut menuduh tentera Israel bersubahat dalam kejadian terbabit.
“Peneroka Israel mengacukan raifal M4 buatan Amerika ketika menahan saya dan beberapa rakyat Amerika lain dalam lawatan ke Palestin,” kata Khanna menerusi hantaran di platform X.
Beliau menambah, apabila tentera Israel tiba di lokasi kejadian, pasukan itu memihak kepada peneroka dan terus menahan mereka.
“Mereka melakukan satu kesilapan besar,” tegas beliau.
Rakaman video dan keterangan yang diberikan Khanna serta delegasi yang menyertainya kepada The New York Times menunjukkan sekumpulan lelaki bersenjata menghalang laluan di luar sebuah perkampungan kecil di selatan Tebing Barat sambil memaki hamun mereka dalam bahasa Ibrani dan Arab.
Khanna memberitahu, apabila anggota Angkatan Pertahanan Israel (IDF) tiba di lokasi, mereka berbincang dengan kumpulan peneroka sebelum mengambil alih sekatan jalan raya selepas peneroka beredar.
Menurutnya, selepas menghubungi Kedutaan AS dan polis Israel, beliau akhirnya dibenarkan meneruskan perjalanan.
AS merupakan sekutu rapat Israel, namun sebahagian penggubal undang-undangnya, khususnya daripada Parti Demokrat, lantang mengkritik serangan ketenteraan Israel di Gaza serta layanan terhadap rakyat Palestin di wilayah yang diduduki. – AFP