
JAKARTA, 12 Julai – Pendakwa raya antirasuah Indonesia, Febrie Adriansyah meletak jawatan pada Sabtu selepas polis merampas wang tunai berjuta-juta dolar serta jongkong emas dari beberapa hartanah, termasuk kediamannya.
- Febrie Adriansyah meletak jawatan; peletakan jawatan beliau telah diterima oleh Pejabat Peguam Negara.
- Polis menyerbu sekurang-kurangnya 12 lokasi termasuk rumah di Bogor, sebuah kafe dan kediaman di Jakarta Selatan.
- Polis merampas 74 kg jongkong emas, tunai AS$5.8 juta dan SG$17.2 juta; 15 saksi diambil keterangan; suspek FA dan DR disiasat.
Jurucakap Pejabat Peguam Negara, Anang Supriatna mengesahkan Febrie yang juga Penolong Peguam Negara bagi Jenayah Khas mengundurkan diri susulan serbuan di sekurang-kurangnya 12 lokasi termasuk hartanah yang dikaitkan dengannya di Jakarta dan sekitar ibu negara itu.
Menurut Anang, peletakan jawatan Febrie telah diterima.
“Keputusan itu merupakan satu bentuk komitmen untuk mengekalkan integriti, objektif dan sikap berkecuali dalam penguatkuasaan undang-undang,” kata Anang.
“Antara lokasi yang diserbu ialah sebuah rumah di daerah Bogor, selain sebuah kafe dan sebuah lagi kediaman di Jakarta Selatan, ” kata jurucakap polis, Budi Hermanto kepada pemberita lewat Jumaat.
Menurutnya, polis merampas pelbagai bahan bukti, termasuk 74 kilogram jongkong emas serta wang tunai berjumlah AS$5.8 juta dan SG$17.2 juta.
Pihak polis juga telah mengambil keterangan 15 saksi.
Sementara tu, Ketua Kor Pembanterasan Rasuah Polis Negara, Totok Suharyanto memaklumkan, pada Sabtu, seorang suspek yang dikenal pasti sebagai FA berdepan pelbagai pertuduhan termasuk rasuah dan pengubahan wang haram.
Jika didapati bersalah, suspek boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup.
Beliau berkata, seorang lagi suspek yang dikenal pasti sebagai DR turut berdepan beberapa pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram. – AFP