
BEIJING, 12 Julai – Taufan Bavi membadai daratan timur China lewat Sabtu, membawa angin kencang setelah melanda kawasan pantai selepas pihak berkuasa memindahkan hampir dua juta penduduk.
- Tiada laporan awal mengenai kerosakan atau kemalangan jiwa.
- Sebelum tiba di China, Bavi melanda utara Taiwan dan kepulauan barat daya Jepun, menumbangkan pokok dan memutus bekalan elektrik puluhan ribu.
- Pegawai Zhejiang ramal hujan lebat dengan risiko banjir kilat, limpahan sungai, gangguan pengangkutan dan pembatalan penerbangan serta perkhidmatan kereta api.
Setakat ini, tiada laporan awal mengenai kerosakan atau kemalangan jiwa.
Sebelum China, Bavi membadai utara Taiwan dan kepulauan terpencil di barat daya Jepun, menumbangkan pokok serta menyebabkan puluhan ribu penduduk terputus bekalan elektrik.
Cuaca ekstrem telah melanda selatan dan tengah China minggu ini dengan ribut menyebabkan sekurang-kurangnya 39 kematian serta mengakibatkan puluhan sungai melimpah dan sebuah empangan takungan pecah.
Taufan Bavi pertama kali mendarat kira-kira pukul 11.20 malam Sabtu (1520 GMT) di wilayah Zhejiang, menurut agensi berita rasmi Xinhua yang memetik balai cerap meteorologi wilayah berkenaan.
“Taufan berkenaan yang mula melanda bandar Yuhuan membawa angin dengan kelajuan mencecah sehingga 144 kilometer (90 batu) sejam,” lapor agensi tersebut.
Taufan itu kemudian bergerak semula menjauhi daratan sebelum melanda kali kedua di Bandar Yueqing kira-kira 20 minit kemudian.
Pegawai wilayah Zhejiang meramalkan hujan lebat akan berlaku di kawasan pesisir serta berisiko menyebabkan banjir kilat, gangguan pengangkutan, limpahan air sungai melepasi tebing dan kawasan pertanian ditenggelami air.
Xinhua melaporkan, Taufan Bavi dijangka terus bergerak ke arah barat laut sebelum melemah.
Sehingga pagi Sabtu, pihak berkuasa telah memindahkan 1.72 juta penduduk ke kawasan selamat.
Aktiviti persekolahan, pekerjaan, pengangkutan dan kegiatan luar turut dihentikan, manakala lebih 400 penerbangan serta berpuluh-puluh perkhidmatan kereta api dibatalkan di wilayah berkenaan. – AFP