
HAVANA, 12 Julai – Usaha Cuba untuk memulihkan segera grid elektriknya pada Sabtu selepas seluruh negara mengalami gangguan elektik buat kali kedua dalam tempoh kurang seminggu terjejas akibat kekurangan bahan api.
- Sekatan bahan api AS pada Januari memburukkan krisis ekonomi dan mengurangkan bekalan minyak.
- Menurut UNE, setakat tengah hari hanya kira-kira tujuh peratus isi rumah Havana menerima elektrik.
- Ini gangguan seluruh negara keempat dalam kurang enam bulan dan kesembilan sejak akhir 2024.
- Grid sering gagal kerana infrastruktur usang serta kekurangan bahan api; pemulihan dijalankan secara berperingkat.
Krisis ekonomi negara kepulauan Caribbean itu semakin memburuk akibat sekatan bahan api yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Januari lalu sebagai sebahagian tekanan bertujuan menamatkan pemerintahan komunis yang telah berlarutan selama enam dekad.
Menurut syarikat utiliti elektrik milik kerajaan, UNE, setakat tengah hari Sabtu, hanya kira-kira tujuh peratus daripada isi rumah di Havana dengan populasi 1.7 juta orang telah menerima mempunyai bekalan elektrik.
“Pemulihan sedang dijalankan secara berperingkat, mengikut keadaan yang mengizinkan,” menurut kenyataan UNE yang dimuat naik di platform X.
Ini merupakan gangguan bekalan elektrik seluruh negara yang keempat dalam tempoh kurang enam bulan dan yang kesembilan sejak akhir 2024 bagi negara kepulauan itu, yang mempunyai populasi 9.6 juta orang.
Grid elektrik negara itu gagal berfungsi pada petang Jumaat, hanya dua hari selepas pihak berkuasa menyambung semula sistem tersebut berikutan gangguan bekalan elektrik seluruh negara pada Isnin.
Presiden Miguel Diaz-Canel dalam hantaran media sosialnya pada Sabtu berkata, keadaan itu sangat rumit akibat sekatan minyak yang besar-besaran yang dikenakan oleh Washington.
Sejak Januari, AS hanya membenarkan kemasukan satu kapal tangki Rusia membawa 100,000 tan minyak mentah yang tiba pada Mac. Simpanan itu telah habis digunakan.
Grid elektrik Cuba kerap mengalami gangguan bekalan elektrik sepenuhnya atau sebahagian akibat infrastruktur yang semakin usang serta kekurangan bahan api. – AFP