
KUALA LUMPUR, 11 Julai – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 memberi petunjuk landskap politik Malaysia mungkin sedang beralih daripada pola sokongan yang selama ini banyak dipengaruhi faktor kaum kepada corak pengundian yang lebih terbuka.
- Keputusan PRN Johor tunjuk peralihan daripada sokongan berasaskan kaum kepada pola pengundian lebih terbuka
- Perubahan kecenderungan pengundi bukan Melayu paling ketara, menandakan persepsi politik berasaskan kaum semakin kabur
- Kadar keluar mengundi sekitar 69 peratus menunjukkan penyertaan tinggi dan memberi implikasi penting kepada masa depan politik negara
Timbalan Naib Canselor (Akademik Dan Antarabangsa) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, walaupun trend pengundian mengikut kaum masih dapat dikesan berdasarkan keputusan awal, namun perubahan dalam kecenderungan pengundi bukan Melayu menjadi perkembangan paling signifikan kerana ia menunjukkan persepsi politik berasaskan kaum semakin menipis.
“Tapi adakah corak pengundian ikut kaum itu diterjemahkan dalam pilihan raya kali ini. Apa yang kita lihat, setakat keputusan sekarang, perkara itu memang wujud.
“Cuma yang menariknya adalah kalau melihat kerusi-kerusi yang bukan Melayu ini, kalau ada berlaku perubahan, maksudnya perspektif kaum itu dah makin kabur, khususnya kepada bukan Melayu,” katanya pada program Grandstand Malam Keputusan PRN Johor ke-16, hari ini.
Menurut beliau, perubahan itu merupakan indikator penting terhadap masa depan politik negara kerana ia memberi isyarat bahawa pola sokongan pengundi mungkin tidak lagi ditentukan sepenuhnya oleh faktor kaum.
“Jadi kalau dalam konteks ini, berasaskan keputusan ini, dia memberi indikator yang besar sebenarnya.
“Kenapa perspektif orang Melayu begini dan orang bukan Melayu begini, kerana dia akan beri gambaran kepada keadaan politik Malaysia pada akan datang,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, kadar keluar mengundi sekitar 69 peratus juga menunjukkan penyertaan pengundi berada pada tahap yang tinggi berbanding jangkaan berdasarkan trend PRN sebelum ini.
Katanya, sebelum ini pengundi Melayu lazimnya mencatat kadar keluar mengundi lebih tinggi dalam PRN, manakala penyertaan pengundi bukan Melayu, khususnya masyarakat Cina yang menetap di luar kawasan, kebiasaannya lebih rendah.
“Segmen pengundi itu ikut kaum, jadi analisa itu melihat kaum dan mengatakan dari segi trend sebelum ini, kalau ada PRN, orang Melayu akan keluar mungkin keluar lebih ramai, tapi orang bukan Melayu terutama kaum Cina akan kurang keluar mengundi.
“Tapi kalau sampai 69 peratus, keadaannya agak tinggi juga dari segi keluar mengundi,” katanya.