
PUTRAJAYA, 30 Ogos – Kerajaan akan meningkatkan peruntukan penyelenggaraan semua jenis sekolah bagi tahun depan sebanyak 50 peratus kepada RM1.5 bilion berbanding RM1 bilion sebelum ini.
- Peruntukan tambahan melibatkan semua aliran pendidikan termasuk sekolah kebangsaan, jenis kebangsaan Cina dan Tamil.
- Sekolah agama, tahfiz, pondok serta institusi pendidikan khas turut menerima manfaat.
- Kementerian Pendidikan akan turun ke setiap daerah meneliti permohonan pembaikan prasarana; keutamaan untuk menangani kerosakan sekolah segera.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan tambahan itu turut melibatkan semua aliran pendidikan termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.
Turut menerima manfaat ialah sekolah agama, tahfiz, pondok serta institusi pendidikan khas.
“Semua akan dijamin untuk diberikan peruntukan tambahan. Kementerian Pendidikan untuk mengatur gerak kerja turun ke setiap daerah dan meneliti setiap permohonan pembaikan prasarana dari mulai bulan depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat sempena Hari Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Keutamaan kerajaan adalah bagi memastikan isu kemudahan dan kerosakan di sekolah dapat ditangani dengan lebih segera tanpa menunggu terlalu lama.