KUALA LUMPUR, 15 November – Tahap integriti dalam kalangan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menjadi isu yang membimbangkan, meskipun pelbagai peringatan dan amaran berulang kali telah diberikan bagi menangani perkara tersebut.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menekankan keperluan untuk melakukan perubahan drastik terhadap budaya kerja serta tahap integriti bagi memastikan PDRM terus kekal relevan dan dihormati oleh masyarakat.
“Kewibawaan dan imej PDRM tercalar dengan penangkapan segelintir warga PDRM atas kesalahan seperti dadah, jenayah dan salah guna kuasa. Malah, saya dimaklumkan bahawa pada 2023, terdapat penglibatan 22 pegawai PDRM sebagai suspek kes jenayah komersial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara bagi November 2024 yang dianjurkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, di sini.
Dalam tempoh Januari hingga September tahun ini, seramai 23 pegawai PDRM telah ditahan kerana terlibat dalam kes jenayah komersial.
Razarudin turut melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan segelintir warga PDRM yang terlibat dalam kes salah laku, yang disifatkannya sebagai mementingkan diri sendiri.