
BUTTERWORTH, 18 Mei – Persiapan bagi sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 yang dijadual berlangsung pada 20 Jun ini di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth berjalan lancar.
- Kerjasama erat antara Kementerian Komunikasi dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperkukuh persiapan sambutan HAWANA.
- Terdapat tiga acara utama: Majlis Makan Malam Media, Majlis Kemuncak HAWANA, dan Mai Riuh@HAWANA.
- Organisasi menjemput khas menteri penerangan dan komunikasi dari negara anggota ASEAN untuk menghadiri sambutan HAWANA.
Ia diperkukuh menerusi kerjasama Kementerian Komunikasi dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Datuk Bahria Mohd Tamil berkata pihaknya menghargai komitmen dan kerjasama yang diberikan kerajaan negeri dalam memastikan kelancaran serta kesediaan menjadi tuan rumah sambutan HAWANA 2026.
“Sambutan Majlis Kemuncak HAWANA 2026 di Pulau Pinang akan melibatkan tiga acara utama iaitu Majlis Makan Malam Media Bersama Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib pada 19 Jun, Majlis Kemuncak HAWANA 2026 pada 20 Jun dan Mai Riuh@HAWANA dari 19 hingga 21 Jun.
“Kelainan penganjuran HAWANA pada tahun ini ialah jemputan khas kepada menteri penerangan dan komunikasi dari negara anggota ASEAN bagi menghadiri sambutan HAWANA 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Induk HAWANA 2026 bersama Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Pulau Pinang Muhamad Ghopran Yeop Hamzah di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth di sini hari ini.