
PUTRAJAYA, 8 Januari- Perolehan kapal Multi Purpose Mission Ship (MPMS) kedua disifatkan satu langkah strategik yang amat signifikan dalam usaha memperkukuh keupayaan operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan negara, khususnya di Laut China Selatan.
- MPMS kedua dilengkapi geladak helikopter, UAV dan empat FIC untuk mempertingkat pemantauan dan rondaan maritim.
- Kapal mampu beroperasi sehingga 30 hari, mengangkut 70 kru, 30 penumpang serta sel tahanan terpisah untuk operasi penguatkuasaan.
- Perolehan itu meningkatkan keupayaan operasi berisiko tinggi dan memberi keyakinan bahawa keselamatan perairan negara diprioritikan.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah merakam penghargaan kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman itu sempena lawatan rasmi beliau ke Turkiye.
Jelasnya, kapal sepanjang 99 meter bernilai kira-kira AS$83.75 juta itu bakal dibina oleh Desan Shipyard.
“Ia mampu mencapai kelajuan maksimum melebihi 20 knot serta beroperasi di laut sehingga 30 hari secara berterusan tanpa perlu ulang bekal.
“(Selain itu) mampu menempatkan seramai 70 orang kru dan 30 penumpang atau anggota tambahan, selain dilengkapi kemudahan sel tahanan berasingan yang boleh memuatkan sehingga 45 orang tahanan, selari dengan keperluan operasi penguatkuasaan undang-undang maritim,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, kapal MPMS kedua itu turut dilengkapi geladak helikopter, sistem Unmanned Aerial Vehicle (UAV) untuk pemantauan, empat Fast Interceptor Craft (FIC) bagi rondaan pantai dan pemeriksaan kapal, serta kemudahan hospital mini dan sistem persenjataan yang bersesuaian bagi operasi berisiko tinggi.
“Perolehan kapal MPMS kedua ini bukan sahaja meningkatkan keupayaan operasi penguatkuasaan di laut, malah memberi keyakinan kepada rakyat bahawa keselamatan perairan negara terus menjadi keutamaan kerajaan,” katanya.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan menyaksikan Majlis Penyerahan Letter of Acceptance (LOA) bagi perolehan kapal itu di Ankara.