SMAN akan diperkasa, setanding sekolah elit arus perdana – Datuk Seri Wan Rosdy

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail/BERNAMA

PUTRAJAYA, 8 Januari– Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) akan terus diperkasa supaya setanding dengan sekolah elit arus perdana menerusi pelaksanaan anjakan paradigma pendidikan yang lebih menyeluruh, berfokus dan berimpak tinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • SMAN akan diperkasa supaya setanding dengan sekolah elit arus perdana melalui anjakan paradigma pendidikan menyeluruh.
  • Pelajar perlu diasuh supaya mampu bersaing setara dengan pelajar terbaik dari sekolah lain.
  • Peranan guru diperkasa sebagai teras utama bagi memastikan kecemerlangan pendidikan berterusan.
  • Lapan resolusi dirumus termasuk sasaran peningkatan prestasi akademik dan JERSI untuk melahirkan generasi Rabbani.
  • Kerajaan Negeri Pahang memberi sokongan penuh dari segi pembangunan guru, kemudahan fizikal, kurikulum dan pelantikan tenaga pengajar.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata SMAN tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian sedia ada, sebaliknya pelajar perlu diasuh agar mampu bersaing setara dengan pelajar terbaik dari sekolah lain.

Beliau berkata, peranan guru juga perlu terus diperkasa sebagai teras utama kejayaan pendidikan bagi memastikan kecemerlangan berterusan.

“Usaha untuk meningkatkan prestasi dan operasi Sekolah Menengah Agama Negeri Pahang terus diperkukuh menerusi pelaksanaan program ini. Kita tidak mahu sentiasa berada dalam zon selesa, sebaliknya perlu terus berusaha seperti yang dilakukan hari ini menerusi Majlis Anjakan Paradigma Pendidikan SMAN.”

“Alhamdulillah, seramai 70 peserta terlibat dan berjaya merumuskan lapan resolusi. Saya telah mendengar pembentangan tersebut dan mendapati ia sangat baik, serta berharap semua resolusi ini dapat dicapai,” kata Datuk Seri Wan Rosdy, hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Bengkel Anjakan Paradigma Pendidikan SMAN, di sini.

Sebanyak lapan resolusi dirumuskan menerusi bengkel selama tiga hari itu, antaranya sasaran 100 peratus SMAN berada dalam kelompok 30 terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Negeri Pahang menjelang 2031.

Selain itu, sasaran turut ditetapkan bagi mencapai 95 peratus tahap penguasaan Bahasa Arab melalui International Benchmarking Test (IBT), serta 100 peratus pelajar mencapai tahap cemerlang elemen jasmani, emosi, rohani, sahsiah dan intelek (JERSI) bagi melahirkan generasi Rabbani.

Kerajaan Negeri Pahang akan terus memberi sokongan penuh kepada SMAN termasuk dari segi pembangunan profesional guru, kemudahan fizikal, kurikulum dan pelantikan tenaga pengajar berkualiti.

Bengkel itu dianjurkan Yayasan Pahang, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Akademi Pahang 1st sebagai langkah strategik merangka hala tuju baharu pendidikan agama negeri.