Polis mohon bantuan kesan dua remaja hilang

P. Shaswin dan A. Jesitha kali terakhir dilihat di Taman Alam Megah, Shah Alam, Selangor dengan menaiki motosikal bersama.

SHAH ALAM, 8 Januari- Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan remaja lelaki dan perempuan masing-masing berusia 17 dan 14 tahun selepas dilaporkan hilang sejak Isnin (5 Januari) lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kedua-dua remaja terakhir dilihat di Taman Alam Megah menaiki motosikal bersama.
  • Remaja perempuan 14 tahun keluar tanpa telefon, rakan lelakinya 17 tahun membawa telefon tidak dapat dihubungi.
  • Keluarga maklum tiada perselisihan, dipercayai keluar atas hubungan pasangan kekasih.
  • Individu mempunyai maklumat diminta hubungi Inspektor Mohamad Sabri Abd Rani di talian 017-2892628.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Ramsay Embol berkata P. Shaswin dan A. Jesitha kali terakhir dilihat di Taman Alam Megah di sini dengan menaiki motosikal bersama dan membawa beg galas.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan dua remaja itu daripada ibu bapa mereka pada Selasa.

Hasil siasatan awal mendapati mereka keluar dari kediaman masing-masing di Seksyen 33, Shah Alam pada lebih kurang 10.30 pagi.

“Remaja perempuan itu dipercayai keluar mengikut rakan lelakinya berumur 17 tahun itu tanpa membawa telefon bimbit manakala remaja lelaki berkenaan ada membawa telefon bimbit namun gagal dihubungi.

“Lelaki tersebut merupakan pekerja sebuah syarikat kurier. Sehingga kini kedua-dua mangsa gagal dihubungi dan belum pulang ke rumah setelah dilihat menaiki sebuah motosikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramsay berkata, keluarga kedua-dua remaja itu memaklumkan tidak berlaku sebarang perselisihan faham dan mereka dipercayai keluar atas hubungan pasangan kekasih.

Individu mempunyai maklumat berhubung keberadaan remaja berkenaan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Sabri Abd Rani di talian 017-2892628.