
PUTRAJAYA, 8 Januari – Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini memaklumkan tiada tindakan lanjut akan diambil berhubung kes melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkaitan dana Yayasan Akalbudi.
- AGC mendapati keterangan tidak mencukupi untuk menyokong pendakwaan terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berhubung 47 pertuduhan.
- Penilaian mengambil kira siasatan awal, siasatan lanjut SPRM, dan bahan serta representasi baharu.
- Keputusan AGC menamatkan kes secara muktamad berdasarkan kuasa Peguam Negara dan pertimbangan profesional undang-undang.
Menurut kenyataan media AGC, keputusan itu dibuat susulan penelitian menyeluruh terhadap siasatan lanjut dan terperinci yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023 melepaskan tanpa membebaskan Discharge Not Amounting to Acquittal (DNAA), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, daripada 47 pertuduhan melibatkan kesalahan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.
Kenyataan itu memaklumkan siasatan lanjut berkenaan merangkumi aspek sumber dana, kaedah perolehan serta penggunaan dana Yayasan Akalbudi, termasuk perkara-perkara yang dibangkitkan melalui enam representasi yang dikemukakan selepas tertuduh dipanggil untuk membela diri.
“Setelah meneliti keseluruhan bahan dan keterangan baharu yang diperoleh hasil siasatan lanjut tersebut, jabatan ini mendapati bahawa keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong penerusan pendakwaan bagi kesemua pertuduhan berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Penilaian berkenaan, menurut AGC, turut mengambil kira skop dan fokus siasatan pada peringkat awal, pertimbangan dan penilaian dalaman pendakwaan berhubung kecukupan keterangan, langkah siasatan lanjut oleh SPRM, serta dapatan siasatan melibatkan keseluruhan tempoh penubuhan dan operasi Yayasan Akalbudi termasuk aliran dan sumbangan dana.
Sehubungan itu, AGC memutuskan tiada tindakan lanjut akan diambil, sekali gus membawa kepada penamatan muktamad kes berkenaan selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.
Kenyataan itu menegaskan keputusan berkenaan dibuat berasaskan pertimbangan profesional dan undang-undang dengan mengambil kira kepentingan keadilan, integriti proses pendakwaan serta keperluan memastikan kepastian dan ketelusan dalam sistem keadilan jenayah.