Perjanjian ART Malaysia-AS belum dikuatkuasakan – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan pada sesi Waktu Petanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Januari – Beberapa peruntukan dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) masih belum dimuktamadkan dan kini berada di peringkat perundingan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Beberapa peruntukan ART masih belum dimuktamadkan dan dalam peringkat perundingan.
  • Proses jawab balas tiada tarikh tamat, menghalang penguatkuasaan perjanjian.
  • Menteri Johari sedang memperincikan ART dan menjawab 35 soalan berkaitan.
  • Kerajaan mahukan jaminan bertulis, termasuk nota daripada United States Trade Representative.

Perkara itu termasuk proses jawab balas yang belum mempunyai tarikh tamat, sekali gus menyebabkan sebarang penguatkuasaan belum dapat dilaksanakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelaskan isu ART sedang diperincikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, termasuk penjelasan terhadap 35 soalan berkaitan perjanjian itu.

Menurut beliau, perkara tersebut turut dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, termasuk cadangan pembaikan, penyesuaian atau penjelasan lanjut terhadap beberapa klausa dalam ART.

Kata Datuk Seri Anwar, terdapat jaminan dalam perbincangan melibatkan Klausa 72, termasuk nota jaminan daripada United States Trade Representative kepada menteri berkaitan, namun kerajaan berpandangan adalah lebih baik sekiranya jaminan berkenaan dinyatakan secara bertulis sebelum perjanjian dimuktamadkan.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman, berhubung jaminan bahawa ART tidak menjejaskan kedaulatan Malaysia serta sama ada kerajaan telah menghantar pemberitahuan bertulis seperti dinyatakan pada 3 November 2025 berkaitan ART kepada Amerika Syarikat.

Rundingan ART, menurut beliau, masih berjalan dan belum mencapai tarikh akhir pemuktamadan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.