fb fb fb fb fb

Perdagangan borong dan runcit Mei naik 7.1 peratus- DOSM

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin

KUALA LUMPUR, 11 Julai- Perdagangan borong dan runcit Malaysia berkembang 7.1 peratus dari tahun ke tahun untuk mencatatkan nilai jualan bulanan sebanyak RM147.9 bilion pada Mei 2024.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin melalui satu kenyataan hari ini berkata peningkatan itu didorong oleh subsektor perdagangan runcit, yang menokok 8.7 peratus atau RM5.1 bilion kepada RM64.0 bilion.

Perdagangan borong juga berkembang sebanyak 4.7 peratus atau RM2.9 bilion kepada RM65.1 bilion, diikuti oleh kenderaan bermotor dengan kenaikan 10.5 peratus atau RM1.8 bilion kepada RM18.8 bilion.

"Bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong serta runcit naik 2.0 peratus berbanding bulan sebelumnya, disokong oleh kenderaan bermotor dan perdagangan borong masing-masing sebanyak 8.8 peratus dan 2.0 peratus," tambahnya.

Mohd Uzir berkata indeks jualan runcit melalui Internet berkembang sebanyak 5.2 peratus dari tahun ke tahun menjelang Mei 2024 berbanding 4.3 peratus yang dicatatkan semasa April 2024, manakala bagi nilai pelarasan musim, indeks itu menyusut 4.7 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Dari segi indeks volum, Mohd Uzir berkata perdagangan borong dan runcit bagi Mei 2024 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 5.7 peratus.

"'Pengembangan ini disumbangkan oleh semua subsektor iaitu kenderaan bermotor (9.6 peratus), perdagangan runcit (6.8 peratus) dan perdagangan borong (3.4 peratus).

"Sebaliknya, bagi indeks volum pelarasan musim, ia jatuh 0.9 peratus bulan ke bulan," katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE