LPGA bakal kembali ke Corning selepas 18 tahun

Foto FAIL

NEW YORK, 6 Ogos – Saingan Jelajah LPGA bakal kembali mewarnai Corning tahun hadapan selepas kali terakhir diadakan di wilayah berkenaan pada 2009.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejohanan The Classic dijadualkan berlangsung dari 27 hingga 30 Mei 2027.
  • Kejohanan menawarkan hadiah AS$5 juta, Corning Incorporated kembali sebagai penaja utama.
  • Wilayah Finger Lakes pernah menjadi tuan rumah Corning Classic selama 31 tahun berturut-turut.
  • Pesuruhjaya LPGA Craig Kessler anggap kejohanan sebagai penghubung tradisi lama dan masa depan sukan.

Pihak penganjur mengesahkan kejohanan golf berprestij The Classic dijadualkan berlangsung dari 27 hingga 30 Mei 2027.

Kejohanan ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai AS$5 juta (kira-kira RM22.3 juta), dengan syarikat teknologi kaca dan seramik tempatan, Corning Incorporated, kembali sebagai penaja utama.

Kawasan Finger Lakes di Western New York sebelum ini pernah menjadi tuan rumah bagi Corning Classic selama 31 tahun berturut-turut sebelum penganjurannya terhenti.

Edisi terakhir kejohanan itu pada 2009 menyaksikan pemain Taiwan, Tseng Ya-ni merangkul gelaran juara.

Pesuruhjaya LPGA, Craig Kessler menyifatkannya sebagai detik bersejarah yang menghubungkan tradisi lama dan masa depan sukan golf wanita.

“Kepulangan The Classic menyatukan sejarah dan masa depan Jelajah LPGA. Semua legenda golf yang pernah saya temui mengenang kejohanan ini dan tidak sabar mencipta kenangan baharu buat generasi seterusnya di Corning,” katanya.

Sementara itu, bekas legenda golf dunia dan pemenang 10 gelaran major, Annika Sorenstam yakin kejohanan tersebut bakal mendapat sambutan hangat daripada barisan pemain baharu.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.