IPOH, 16 April- Perak meluluskan seluas 93.84 hektar kawasan untuk dirizabkan bagi tujuan Zon Keterjaminan Makanan di negeri itu.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, kerajaan negeri itu sedang mengenal pasti beberapa kawasan berpotensi lain untuk dirizabkan bagi tujuan pertanian bersepadu.
Kerajaan negeri juga bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam menyediakan kawasan-kawasan untuk dibangunkan Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR-INTAN) bagi membantu ekonomi rakyat berpendapatan rendah.
"Usaha kerajaan negeri Perak dalam Perak Sejahtera 2030 yakni telah menetapkan sekuriti makanan sebagai salah satu agenda utama. Beberapa langkah strategik telah diambil termasuk penglibatan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dan Jabatan Pertanian untuk meningkatkan hasil pertanian.
"Dengan pelaksanaan langkah-langkah ini berpotensi menjadi penyumbang ketara dalam memastikan sekuriti makanan Perak berada setara secara keseluruhan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Bangunan Darul Ridzuan di sini.
Kerajaan negeri menerusi Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) menggerakkan lima inisiatif strategik dalam memastikan sektor pertanian di negeri itu supaya dapat bersaing di peringkat global.
Lima inisiatif tersebut membabitkan Projek Penanaman Bawang, Projek Kerang, Projek Tanaman Nangka Madu, Projek Penanaman Kelapa dan Plant Factory.