
TAPAH, 6 Jun – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin di Gunung Batu Putih di sini terus mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk sukarelawan yang mahu membantu pencarian.
- Setiap permohonan menyertai operasi disaring dan diselaraskan bersama Jabatan Perhutanan untuk memastikan keselamatan serta pematuhan Prosedur Operasi Standard.
- Permohonan ditolak kerana waktu tidak sesuai, kekurangan peralatan atau gagal memenuhi syarat yang ditetapkan.
- Beberapa barangan ditemui ketika operasi tetapi pemeriksaan mengesahkan ia bukan milik mangsa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima banyak permohonan daripada individu serta kumpulan komuniti untuk menyertai operasi berkenaan.
Bagaimanapun katanya setiap permohonan perlu melalui proses tapisan dan penyelarasan bersama Jabatan Perhutanan bagi memastikan aspek keselamatan serta pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) diberi keutamaan.
“Antara faktor menyebabkan permohonan ditolak termasuk tempoh masa yang tidak sesuai, kekurangan peralatan dan kelengkapan selain gagal memenuhi beberapa syarat ditetapkan.
“Pada masa sama, komuniti orang asli yang membantu operasi pencarian sejak 3 Jun lalu masih berada di sektor pencarian, namun setakat ini tiada sebarang penemuan baharu dilaporkan,” katanya.
Semalam, lapan anggota STORM bersama dua Malim Gunung Perhutanan terlibat di lokasi sektor pencarian sebelum kesemua mereka selamat keluar kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.
Hari ini pula, lima anggota terdiri daripada pasukan Perhutanan dan Malim Gunung Perhutanan memasuki sektor pencarian bagi meneruskan operasi SAR.
Sepanjang operasi dilaksanakan, beberapa barangan turut ditemui di kawasan sungai, lereng bukit dan laluan yang dilalui pasukan penyelamat.
Bagaimanapun selepas pemeriksaan dilakukan, kesemua barangan berkenaan disahkan bukan milik mangsa.