KUALA LUMPUR, 22 Julai - Penyertaan Malaysia dalam gabungan ekonomi BRICS, satu langkah strategik untuk memperluas jaringan kerjasama ekonomi terutama dari aspek perdagangan, pelaburan serta kepelbagaian pasaran.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata Malaysia sentiasa meneroka pasaran-pasaran baharu agar mendapat manfaat perkembangan ekonomi global.
"BRICS juga sebuah blok yang membentuk satu pasaran mega yang akan membuka peluang bagi diversifikasi pasaran dan sumber pelaburan asing baru kepada negara yang akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang mampan.
"Di samping mengimbangi kebergantungan kepada pasaran tradisional seperti Amerika Syarikat (AS) dan juga Eropah. Negara anggota BRICS juga merupakan antara pengeluar komoditi utama dunia seperti minyak mentah dan gas, arang batu, bijih besi aluminium, bijiran, tembaga, nikel dan emas, juga komoditi berharga seperti platinum dan palladiumm," katanya.
Dalam pada itu, Malaysia sentiasa menumpukan usaha untuk mengeratkan kerjasama ekonomi dengan rakan dagang utama yang lain.
"Dengan pendekatan yang strategik dan seimbang, Malaysia dapat mengoptimumkan matlamat penyertaan dalam BRICS di samping memastikan kestabilan dan kesinambungan hubungan perdagangan global dengan semua rakan ekonomi utama negara," katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Noraini Idris di Dewan Negara, di sini.