fb fb fb fb fb

Penyeludupan haiwan ternakan ada kaitan sindiket dadah

Datuk Seri Mohamad Sabu ditemui di Kampung Seribong hari ini. - Foto BERNAMA.

KOTA BHARU, 7 September - Penyeludupan haiwan ternakan seperti lembu dan kambing di sempadan Malaysia-Thailand dipercayai ada kaitan dan berkemungkinan menjadi taktik baharu sindiket penyeludupan dadah.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kemasukan haiwan secara haram bukan sahaja menjejaskan pasaran tempatan, malah mengundang risiko penyakit.

“Haiwan yang diseludup boleh dijual dengan harga murah dan tidak diperiksa oleh Jabatan Veterinar. Penyeludupan dadah di Kelantan juga tinggi berbanding negeri lain. Semua ini perlu dikawal demi kepentingan rakyat, sebab itu ada undang-undang yang dianggap keras,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kandang Ternakan Lembu Wagyu Kelfarm Sdn Bhd di Kampung Seribong, di sini.

Menurutnya, rekod menunjukkan 70,000 ekor lembu diseludup tahun lalu. Justeru pihak berkuasa sempadan disaran meningkatkan kawalan.

Dalam masa sama, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan kementeriannya berusaha meningkatkan pengeluaran daging berkualiti tinggi untuk memenuhi permintaan domestik serta mengurangkan kebergantungan import.

Setakat Jun lalu, sebanyak 481 ekor lembu wagyu hybrid dihasilkan berbanding 393 ekor pada 2024, menunjukkan peningkatan permintaan terhadap wagyu tempatan.

TUN JULIA MOHD TAHIR