
SAUDARA PENGARANG
- Dasar Bioteknologi Negara 2.0 dan RMK-12 menekankan pelaburan strategik, R&D dan pembangunan modal insan untuk memacu sektor bioteknologi.
- Inovasi moden seperti kejuruteraan gen, projek MyGenom dan vaksin mRNA menyokong perubatan jitu serta mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar.
- Teknik pembiakbakaan molekul meningkatkan ketahanan tanaman terhadap perubahan iklim, menyokong keselamatan makanan dan pertumbuhan ekonomi sektor.
- Pentingnya dialog berterusan antara saintis, pembuat dasar, agamawan dan masyarakat, disokong garis panduan etika dan pengawalseliaan yang jelas.
Bioteknologi bukan lagi istilah asing yang terkurung dalam makmal atau sekadar menghiasi jurnal saintifik. Hari ini, ia hadir dalam kehidupan seharian daripada makanan yang kita nikmati hinggalah kepada rawatan kesihatan yang menyelamatkan nyawa.
Lebih daripada itu, bioteknologi kini diangkat sebagai antara pemacu utama dalam usaha Malaysia mencapai status negara maju menjelang tahun 2030.
Komitmen ini jelas terpancar melalui Rancangan Malaysia Ke-12 dan Dasar Bioteknologi Negara 2.0. Kedua-duanya memberi penekanan kepada pelaburan strategik, pengukuhan penyelidikan serta pembangunan modal insan yang berdaya saing.
Isyaratnya jelas, bioteknologi bukan lagi pilihan sampingan. Sebaliknya, satu keperluan dalam membentuk ekonomi masa hadapan yang mampan dan berdaya tahan.
Namun, bioteknologi bukanlah sesuatu yang benar-benar baharu. Sejak sekian lama, manusia telah mengaplikasikannya dalam bentuk asas seperti pembuatan tapai, yogurt dan roti. Bezanya kini, bioteknologi moden melangkaui pendekatan tradisional dengan memanfaatkan teknologi canggih seperti kejuruteraan genetik.
Melalui teknologi ini, gen boleh dipindahkan antara organisma, sekaligus membuka ruang inovasi yang luas dalam bidang perubatan, pertanian dan industri makanan.
Di Malaysia, usaha memperkasakan bioteknologi semakin rancak.
Dasar Bioteknologi Negara 2.0, misalnya, memberi tumpuan kepada kemandirian kesihatan dan keterjaminan makanan. Dalam sektor perubatan, inisiatif seperti projek MyGenom membuka laluan kepada perubatan jitu berasaskan DNA.
Pada masa yang sama, pembangunan vaksin mRNA tempatan oleh Malaysian Genome and Vaccine Institute (MGVI) dilihat sebagai langkah strategik untuk mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar.
Dalam sektor pertanian pula, teknik pembiakbakaan molekul digunakan bagi menghasilkan tanaman yang lebih tahan terhadap perubahan iklim. Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh rantaian bekalan makanan negara, malah menyumbang kepada sasaran sektor bioteknologi untuk mencapai sekitar lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.
Hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab bioteknologi yang kompetitif di rantau ini juga semakin realistik.
Keistimewaan Malaysia turut terserlah melalui kekayaan biodiversitinya. Sumber semula jadi yang melimpah ini membuka peluang besar dalam penerokaan ubat-ubatan berasaskan tumbuhan serta bahan bioaktif bernilai tinggi.
Dengan sokongan kerangka perundangan seperti Akta Biokeselamatan 2007, pembangunan bioteknologi negara dilihat semakin tersusun dari segi pengawalseliaan dan keselamatan.
Namun, di sebalik segala potensi yang memberangsangkan ini, timbul juga persoalan yang tidak boleh dipandang enteng. Teknologi genetik, khususnya yang melibatkan organisma terubah suai secara genetik (GMO), sering mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Isu keselamatan makanan, kesan terhadap alam sekitar serta implikasi kesihatan terus menjadi bahan perdebatan di peringkat global.
Cabaran utama yang perlu ditangani ialah jurang antara dunia sains dan masyarakat. Keputusan berkaitan teknologi sering dibuat berasaskan pertimbangan saintifik semata-mata, tanpa mengambil kira nilai sosial, budaya dan kepercayaan masyarakat. Akibatnya, timbul rasa curiga yang boleh menghakis kepercayaan terhadap institusi, saintis dan pihak industri.
Dalam konteks Malaysia yang majmuk, dimensi etika menjadi semakin penting. Nilai budaya dan agama memainkan peranan besar dalam menilai sesuatu inovasi. Dalam Islam, misalnya, prinsip Maqasid al-Shariah yang menekankan pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta boleh dijadikan kerangka asas dalam menilai manfaat dan risiko bioteknologi.
Sehubungan itu, pengenalan Garis Panduan Etika Bioteknologi di Malaysia pada tahun 2025 merupakan langkah yang tepat pada masanya. Namun, usaha ini tidak harus terhenti di situ. Dialog berterusan antara saintis, pembuat dasar, agamawan dan masyarakat amat penting bagi memastikan pembangunan bioteknologi selari dengan nilai dan aspirasi rakyat.
Kesimpulannya, bioteknologi menawarkan peluang besar untuk memacu kemajuan negara. Namun, setiap kemajuan menuntut tanggung jawab. Dalam dunia yang semakin kompleks, persoalan utama bukan lagi sekadar “boleh atau tidak”, tetapi “patut atau tidak”.
Jawapannya bergantung kepada sejauh mana kita mampu menyeimbangkan kemajuan teknologi dengan nilai kemanusiaan yang menjadi teras sebuah masyarakat beradab.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Nur Asmadayana Hasim
Pusat Pengajian Citra& Institut Islam Hadhari
Universiti Kebangsaan Malaysia
e-mel: asmadayana@ukm.edu.my

Ts. Dr. Ahmad Firdhaus Arham
Pusat Pengajian Citra & Institut Islam Hadhari
Universiti Kebangsaan Malaysia
e-mel: benferdaoz@ukm.edu.my