KUALA LUMPUR, 26 Mei - Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dan mekanisme pelaksanaannya akan diperinci tidak lama lagi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengumuman akan dibuat Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam masa terdekat selepas gambaran mengenainya sudah diumumkan pada Perutusan Negara baru-baru ini.
"Ini bukan semua Perdana Menteri boleh lakukan, saya berikan gambaran kerangka besar kemudian akan ada tindakan susulan jadi sebab itu saya bezakan diantara perkara dasar dan juga perkara yang tidak penting yang ada tidak faham," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Pameran Era Pasca Normal MADANI di ibu negara.
Dalam perkembangan lain, Anwar menjelaskan, proses pelantikan pengerusi baharu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah melalui prosedur ditetapkan dan menunggu perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.
"Sudah tentu kita tidak rujuk Timbalan Pengerusi SPR yang akan kita lantik dan kita perlu melalui proses itu," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pandangan Timbalan Pengerusi SPR, Azmi Sharom berhubung kaedah yang lebih telus dalam pemilihan jawatan Pengerusi Suruhanjaya itu, selepas persaraan Tan Sri Abdul Ghani Salleh, 9 Mei lalu.