Penyahklasifikasian dokumen Lembaga Pengampunan apabila dicabar di mahkamah

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

SHENZHEN, 19 November –Dokumen asal Lembaga Pengampunan sememangnya dikategorikan sebagai rahsia rasmi, namun proses penyahklasifikasian bukanlah sesuatu yang luar biasa apabila urusan tersebut dicabar di mahkamah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anwar menegaskan pengesahan rasmi penyahklasifikasian perlu dirujuk kepada pihak berkaitan.
  • Kerajaan memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa dokumen akan dinyahklasifikasi, namun tarikh pelaksanaan akan ditentukan kemudian.
  • Minit mesyuarat Lembaga Pengampunan dinyahklasifikasi untuk dimasukkan dalam afidavit AGC susulan cabaran undang-undang oleh peguam termasuk Majlis Peguam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa berdasarkan prinsip umum undang-undang, sebarang permohonan atau cabaran undang-undang terhadap keputusan mahupun proses sesuatu urusan rasmi kebiasaannya akan membawa kepada tindakan penyahklasifikasian dokumen berkaitan.

“Dokumen asal itu memang rahsia, tetapi selalunya kalau dibawa ke mahkamah, ia akan dinyahklasifikasi.

“Dalam kes saya dahulu pun begitu. Mulanya rahsia, tetapi sebaik sahaja ada cabaran di mahkamah, ketika itu saya tidak mencabar keputusan Lembaga (Pengampunan), sebaliknya mencabar prosesnya dokumen itu tetap terpaksa dinyahklasifikasi. Jadi, ini bukan satu perkara yang luar biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC 2026 di sini, hari ini, bagi mengulas perkembangan terkini berhubung minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan perintah tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Datuk Seri Anwar, kerajaan sebelum ini juga telah memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa dokumen berkenaan akan dinyahklasifikasi, manakala tarikh pelaksanaannya ditentukan kemudian.

Mengulas sama ada status penyahklasifikasian dokumen itu sudah disahkan secara rasmi, Datuk Seri Anwar memberitahu bahawa kenyataan beliau adalah berdasarkan prinsip umum semata-mata dan pengesahan rasmi perlu dirujuk kepada pihak berkaitan.

“Perkara ini saya baru maklum semalam, jadi saya tidak mengikuti perinciannya secara mendalam.

“Sekiranya masih terdapat sebarang kemusykilan atau permasalahan lain yang berbangkit, perkara itu boleh dirujuk dan dibincangkan di peringkat Jemaah Menteri,” jelasnya.

Terdahulu, minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berhubung pengampunan bersyarat bagi tahanan rumah Datuk Seri Najib dilaporkan telah dinyahklasifikasi bagi membolehkan ia dikemukakan sebagai sebahagian daripada afidavit Jabatan Peguam Negara (AGC).

Langkah itu susulan cabaran undang-undang yang dikemukakan oleh pihak peguam termasuk Majlis Peguam terhadap perintah tahanan rumah tersebut, yang sebelum ini mencetuskan gesaan daripada beberapa pemimpin politik agar kerajaan menjelaskan status kerahsiaan dokumen berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.