
PUTRAJAYA, 19 November -Kekosongan jawatan Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) dijangka diisi dalam masa terdekat susulan proses pemilihan calon bagi jawatan itu yang sedang dilaksanakan.
- Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor dipengerusikan Prof Noor Azlan melaksanakan pengiklanan, pemilihan calon dan sesi temu duga.
- Proses pelantikan perlu mengikut tatacara ditetapkan dan tidak akan mengambil masa terlalu lama sebelum keputusan diumumkan.
- Jawatan kosong selepas Prof Shahrin menamatkan perkhidmatan; Prof Dr Yamin Yasin menjalankan fungsi Naib Canselor sementara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor Universiti Awam yang dipengerusikan Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali kini melaksanakan prosedur pelantikan termasuk pengiklanan jawatan, pemilihan calon dan sesi temu duga.
Beliau berkata, proses berkenaan perlu dilaksanakan mengikut tatacara ditetapkan dan dijangka tidak mengambil masa terlalu lama sebelum keputusan diumumkan.
“Jangkaannya biasanya proses tidak akan ambil masa lama. Yang paling mustahak ialah proses itu perlu dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Festival Idea Putrajaya 2026 di sini, hari ini.
Jawatan berkenaan kosong selepas Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin menamatkan tempoh perkhidmatannya sebagai Naib Canselor UiTM ketujuh pada 1 November lalu, selepas menerajui universiti itu selama tiga tahun sejak 2 November 2023.
Buat masa ini, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Yamin Yasin menjalankan fungsi Naib Canselor UiTM berkuat kuasa 2 November lalu sementara menunggu proses pelantikan penyandang baharu dimuktamadkan.