
KUALA LUMPUR, 15 Ogos — Penumpang Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam menyambut baik kadar tambang yang mula dikenakan hari ini selepas menikmati perkhidmatan percuma selama lebih enam minggu.
- Pengguna My50 berkata kadar tambang tidak membebankan dan pas itu membantu menjimatkan perbelanjaan bulanan.
- Penumpang puji LRT3 selesa, laju dan memendekkan masa perjalanan, memudahkan pengangkutan antara Shah Alam, Subang dan Klang.
- Tempoh tambang percuma dilanjutkan untuk membolehkan lebih ramai pengguna membiasakan diri dengan sistem baharu.
Bagi penumpang, Nur Aisyah Abd Aziz, 23, kadar tambang yang dikenakan tidak membebankan, terutama kerana beliau menggunakan pas perjalanan tanpa had My50.
“Saya menggunakan MyRapid 50 dan ia membantu saya menjimatkan perbelanjaan bulanan.
“Malah, sejak ada LRT3 ini, ia banyak membantu menjimatkan masa perjalanan saya untuk bergerak dari Shah Alam ke Subang,” katanya kepada RTM.
Sementara itu, Syed Nabil Shahabuddin, 21, yang bekerja di Aman Suria, turut memuji kemudahan dan perkhidmatan LRT3 yang disifatkannya selesa serta membantu memendekkan masa perjalanan.
“Saya memang puas hati dengan perkhidmatan LRT3 ini sejak dilancarkan lebih sebulan lalu sebab laju dan mudah, selain dekat dengan tempat kerja saya,” katanya.
Bagi Derrick Lee, 29, kewujudan LRT3 Laluan Shah Alam turut memberi kemudahan dari segi akses kerana kedudukannya lebih hampir dengan kediamannya berbanding Stesen Glenmarie yang digunakan sebelum ini.
“Kalau saya mahu berjalan kaki ke LRT Glenmarie agak jauh, tetapi dengan adanya LRT3 Laluan Shah Alam ini, ia lebih mudah diakses,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan tambang percuma bagi perkhidmatan LRT3 Laluan Shah Alam bermula 29 Jun hingga 31 Julai, termasuk perkhidmatan bas perantara kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di sepanjang laluan berkenaan.
Tempoh perkhidmatan percuma itu kemudiannya dilanjutkan sehingga semalam bagi memberi peluang kepada lebih ramai pengguna membiasakan diri dengan sistem pengangkutan awam baharu yang menghubungkan Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang.