SUNGAI BULOH, 10 September - Kementerian Kesihatan (KKM) tidak bercadang melaksanakan sebarang sekatan termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan cacar monyet (Mpox) sepertimana dilakukan sewaktu jangkitan COVID-19 kira-kira empat tahun lalu.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata keputusan itu dibuat selepas ujian saringan terhadap 6.2 juta pengembara yang masuk ke negara ini mendapati kesemuanya negatif.
“Saya sebagai menteri kerap diasak untuk meningkatkan prosedur operasi standard (SOP). Insya-Allah, jangan risau tidak akan ada PKP seperti ketika era pandemik COVID-19, namun saya juga mahu ingatkan supaya kita jangan terlalu selesa kerana kita tahu transisi (jangkitan) virus ini,” Katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-20 Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sungai Buloh.
Dzulkefly pada masa sama berharap orang ramai tidak mengambil mudah mengenai jangkitan Mpox. Masyarakat dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada terhadap sebarang kemungkinan.
Tambah beliau, pihak KKM sedang melaksanakan proses pemerolehan antiviral Mpox dengan keutamaan diberikan kepada golongan rentan serta imuniti rendah sekiranya perlu bagi mengelakkan penularan virus berkenaan.