
PUTRAJAYA, 12 Ogos – Cadangan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) baharu bagi menyiasat pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) perlu diputuskan di peringkat Jemaah Menteri dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
- Kerajaan menyerahkan dapatan penuh laporan RCI kepada PDRM, SPRM, BNM dan LHDN untuk siasatan lanjut.
- Beberapa Ahli Parlimen BN dan PH menggesa RCI baharu meneliti pengurusan TH bagi tempoh 2021 hingga 2025.
- Fahmi kesal dengan ketidakhadiran beberapa Ahli Parlimen pembangkang, khususnya dari PAS, dan memuji Syed Saddiq serta Ahli Parlimen Bebas.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu perlu diperhalusi kerana RCI yang ditubuhkan pada 2021 berhubung TH diwujudkan dengan perkenan YDPA.
“Ada dua keputusan yang perlu dibuat di peringkat Jemaah Menteri, sama ada untuk meneruskan atau mengembangkannya.
“Memandangkan ia diwujudkan sebagai RCI pada 2021, maka sebarang keputusan juga perlu mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 di sini, hari ini.
Sementara menunggu ketetapan di peringkat tertinggi, Fahmi berkata kerajaan menyerahkan dapatan penuh laporan RCI berkenaan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk siasatan lanjut.
Antara agensi terbabit ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Semalam, beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menggesa penubuhan RCI baharu bagi meneliti pengurusan TH bagi tempoh 2021 hingga 2025.
Gesaan itu dibuat susulan siasatan terdahulu yang hanya meliputi tempoh 2014 hingga 2020.
Dalam pada itu, Fahmi turut mengkritik tindakan sebahagian Ahli Parlimen pembangkang, khususnya daripada PAS, yang tidak hadir untuk membahaskan laporan RCI berkenaan dalam sidang khas Dewan Rakyat.
Beliau menyifatkan ketidakhadiran itu mengecewakan kerana penubuhan dan penyediaan laporan RCI berkenaan berlaku ketika mereka memegang tampuk pentadbiran kerajaan, termasuk portfolio Menteri Agama.
“Mereka ada sewaktu RCI dimulakan dan diselesaikan, tetapi enggan hadir untuk membahaskannya. Saya amat kesal dengan sikap pembangkang yang tidak menjalankan amanah kepada rakyat dan 10 juta pendeposit Tabung Haji,” tegasnya.
Sebaliknya, beliau memuji Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta beberapa Ahli Parlimen Bebas yang hadir bagi menjalankan fungsi dan tanggungjawab mereka secara profesional.