
KUCHING, 12 Ogos – Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) memberi amaran tegas kepada orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka, susulan keadaan cuaca panas serta kualiti udara yang semakin merosot di negeri itu.
- Pesalah boleh dikenakan denda hingga RM100,000, penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
- Tindakan undang-undang akan diambil di bawah Seksyen 30(1)(a) dan Seksyen 30(2) Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar.
- Orang ramai diminta memadam kebakaran kecil dan segera melaporkan pembakaran terbuka kepada pejabat NREB melalui talian 082-447488 atau 082-319500.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata individu yang melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 30(1)(a) dan Seksyen 30(2) ‘Natural Resources and Environment Ordinance’.
Beliau menerusi kenyataan media hari ini memaklumkan, mereka yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000, penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, orang awam diminta tidak mengambil mudah larangan berkenaan, selain bekerjasama memadam kebakaran kecil bagi mengelakkannya merebak dan menjejaskan keadaan sekeliling.
Orang ramai juga diseru supaya segera melaporkan sebarang kejadian pembakaran terbuka kepada pejabat NREB berhampiran bagi membolehkan tindakan pantas diambil.
Laporan boleh dibuat menerusi talian hotline NREB di 082-447488 atau 082-319500.