fb fb fb fb fb

Penjual buah maut dengan kesan luka pada rusuk kanan

SEREMBAN, 22 November- Seorang lelaki ditemukan mati dengan kesan luka pada rusuk kanan dipercayai ditikam di sebuah rumah apartmen di Taman Bukit Delima di sini, malam tadi.

Mayat lelaki yang berusia 50 tahun dan bekerja sebagai penjual buah itu ditemui kira-kira pukul 9.30 malam dalam keadaan terlentang berlumuran darah di ruang tamu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, polis menerima maklumat kejadian daripada pengawal keselamatan apartmen terbabit yang memaklumkan terdapat kes kematian di situ.

“Sebaik tiba, kita lihat ada kesan darah di sepanjang laluan dalam rumah dan kita dapati ada seorang wanita warga Vietnam berusia 33 tahun berada dalam keadaan panik dan kesedihan. Hubungan sebenar mereka masih dalam siasatan.

“Maklumat awal saksi mengatakan terdengar pergaduhan antara kedua-duanya selain wanita menangis kira-kira pukul 9.00 malam. Kita percaya semasa pergelutan pisau tertusuk di rusuk kanan mangsa, namun kita sedang siasat kejadian sebenar,” katanya ketika ditemui di lokasi.

(Foto fail)

Jelasnya, polis turut menemui sebilah pisau pemotong sayur di bahagian dapur dipercayai senjata yang digunakan dalam kejadian tersebut.

Wanita terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Media Baharu