KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Bantuan Khas Kewangan RM500 dan elaun sara hidup RM900 sebulan kepada penerima Hadiah Latihan Persekutuan (HLP), antara manfaat untuk penjawat awam yang diumum pada pembentangan Belanjawan 2026 demi kesejahteraan golongan tersebut.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Bantuan Khas Kewangan itu melibatkan semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak. Bantuan itu akan disalurkan pada awal Mac tahun depan sempena Aidilfitri.
"Bantuan ini turut diberikan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan veteran tidak berpencen sebanyak RM250.
"Kerajaan juga bersetuju menyalurkan sumbangan khas RM500 bagi menghargai khidmat guru KAFA, guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut dengan peruntukan RM35 juta," jelasnya pada pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambah beliau, kerajaan bersetuju memberikan bayaran khas RM500 kepada hampir 120,000 pemegang Pingat Jasa Malaysia dengan peruntukan RM60 juta.
"Kerajaan juga bersetuju untuk memperluas pelaksanaan Bantuan Insentif Berasaskan Prestasi kepada Kumpulan Pengurusan dan Profesional dalam perkhidmatan awam Persekutuan tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan," jelas beliau.
Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju menaikkan gaji hakim sehingga 30 peratus mulai 1 Januari 2026.
Sementara itu Datuk Seri Anwar berkata, Skim Pembiayaan Perumahan Muda bawah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) akan dilanjutkan sehingga 31 Disember tahun depan yang dijangka memanfaatkan sehingga 48,000 penjawat awam muda bawah umur 30 tahun.
"Had kelayakan maksimum pembiayaan LPPSA akan dinaikkan sehingga RM1 juta selaras dengan pelarasan gaji dan peningkatan harga pasaran hartanah.
"Susulan kenaikan ini, pembiayaan kali kedua dipermudah tanpa perlu menyelesaikan pembiayaan pertama tertakluk kepada had kelayakan baki pembiayaan. Ia akan diperkenal seawal suku keempat 2026," jelas beliau.
Selain itu, kebajikan kakitangan kontrak turut diberi tumpuan dalam Belanjawan 2026.
"Kepada kakitangan kontrak yang sukar mendapat pinjaman perumahan pertama, Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) akan menjamin pinjaman sehingga 120 peratus dengan nilai keseluruhan RM1 bilion.
"Bank Simpanan Nasional (BSN) menyediakan RM500 juta untuk membiayai pinjaman rumah pertama penjawat awam kontrak termasuk guru Tabika dan Taska KEMAS," ujarnya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri memberitahu kerajaan bersetuju menaikkan kadar Bantuan Sara Hidup 4,000 pesara kontrak KEMAS daripada RM300 kepada RM500 sebulan.
"Mewakili Kerajaan MADANI serta seluruh rakyat Malaysia, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh penjawat awam yang saban hari menjalankan amanah, berkhidmat bagi menjayakan dasar-dasar MADANI demi kesejahteraan rakyat," katanya.