fb fb fb fb fb

Peningkatan kes COVID-19, Agong nasihat rakyat jangan lalai

Bagi tempoh 10 hingga 16 Disember lalu sebanyak 20, 696 kes COVID 19 dilaporkan di seluruh negara/FOTO FAIL BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Disember - Peningkatan kes jangkitan COVID-19 tidak boleh dipandang ringan, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Zahari Mohd Ariffin berkata Al-Sultan Abdullah menasihati rakyat supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan berdisiplin dalam kawalan kendiri.

Baginda turut menasihati rakyat khususnya golongan rentan, warga emas dan yang mempunyai komorbiditi agar mengamalkan pemakaian pelitup muka di kawasan tumpuan awam, sesak dan tertutup.

Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong menitahkan rakyat agar menjaga penjarakan fizikal dan kerap mencuci tangan serta menggunakan cecair pembasmi kuman.

"Selain kawalan kendiri itu, individu bergejala disaran mengelakkan 3S iaitu berada di kawasan sesak, sempit dan bersembang jarak dekat, sebagai langkah pencegahan dan bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.

"Seri Paduka Baginda menzahirkan kegusaran.. jika rakyat lalai atau mengambil sikap sambil lewa, kes COVID-19 akan terus meningkat, tambahan pula ketika ini musim cuti sekolah, yang menyaksikan banyak pergerakan dan perhimpunan orang ramai," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Rakyat juga disaran supaya sentiasa peka dengan perkembangan terkini berkenaan kes COVID-19 di negara ini termasuk arahan-arahan yang dikeluarkan oleh KKM dari semasa ke semasa.

"Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan sokongan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis, memantau rapi kes jangkitan COVID-19 di seluruh negara," katanya.

Bagi tempoh 10 hingga 16 Disember lalu sebanyak 20, 696 kes COVID 19 dilaporkan di seluruh negara.

Peningkatan kes COVID-19 itu dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam sidang media di Putrajaya semalam.

GRACE AISYAH KEDAYAN