Presiden Iran bincang konflik serantau dengan PM Pakistan, India di Bishkek

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian; Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dan Perdana Menteri India, Narendra Modi/AFP

HYDERABAD, 1 September- Presiden Iran, Masoud Pezeshkian mengadakan perbincangan secara berasingan dengan Perdana Menteri Pakistan dan India pada Isnin dengan konflik Asia Barat yang semakin memuncak serta usaha diplomatik untuk memulihkan keamanan rantau itu menjadi agenda utama.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pakistan mengesahkan komitmen sebagai perantara, meneruskan usaha keamanan serantau dan memuji lawatan Panglima Asim Munir ke Tehran sebagai petanda positif.
  • Shehbaz menekankan kepentingan menahan diri, penglibatan diplomatik berterusan dan MoU Jun sebagai jalan paling munasabah menuju keamanan berkekalan.
  • Modi menyuarakan kebimbangan terhadap ketegangan meningkat, mengulangi bahawa semua isu mesti diselesaikan melalui dialog dan diplomasi.

Pertemuan dengan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dan Perdana Menteri India, Narendra Modi itu diadakan di luar Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) ke-26 di Bishkek, Kyrgyzstan.

Pakistan, yang bertindak sebagai perantara dalam konflik AS-Iran mengesahkan komitmennya terhadap keamanan rantau berkenaan, manakala India mengulangi gesaannya agar dialog dan diplomasi digunakan bagi menyelesaikan krisis itu.

“Kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai situasi serantau yang sedang berkembang,” menurut kenyataan Kerajaan Pakistan susulan pertemuan Pezeshkian-Shehbaz.

Pakistan mengulangi ikrar bahawa ia akan meneruskan usaha bagi merealisasikan keamanan serantau, sambil mengimbas lawatan Panglima Angkatan Pertahanan Field Marshal Syed Asim Munir ke Tehran pada 24 Ogos serta penglibatan beliau dengan kepimpinan Iran yang dilihat “memberi petanda positif berhubung perkara ini”.

Shehbaz menekankan “kepentingan menahan diri dan penglibatan diplomatik yang berterusan” serta menggariskan terma yang dipersetujui di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) Islamabad yang dimeterai Iran dan AS pada Jun sebagai “satu-satunya jalan paling munasabah ke arah keamanan berkekalan di rantau ini”.

Pegawai kanan Pakistan dan Iran telah mengadakan beberapa pertemuan bagi memperkukuh hubungan dua hala dan memajukan usaha gencatan senjata sejak Israel serta AS melancarkan perang terhadap Iran pada 28 Feb. Sementara itu, pertemuan Pezeshkian dengan Modi adalah yang pertama sejak perang tercetus.

“Kedua-dua pemimpin membincangkan hubungan dua hala. Mereka turut membincangkan perkembangan terkini konflik di Asia Barat serta berkongsi pandangan mengenai situasi semasa,” menurut kenyataan Kementerian Hal Ehwal Luar India.

Modi menzahirkan kebimbangan terhadap ketegangan yang semakin meningkat di rantau itu dan mengulangi pendirian konsisten India bahawa semua isu mesti diselesaikan menerusi dialog dan diplomasi, kata kenyataan itu. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.