
KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Lima kawasan di Sarawak mencatatkan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap berbahaya dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian mencatatkan bacaan tertinggi, iaitu 427.
- Beberapa kawasan Sarawak catat IPU tahap berbahaya, termasuk Kuching, Samarahan, Sri Aman dan Sarikei.
- Tiga kawasan lain di Sarawak rekod IPU sangat tidak sihat: Sibu, Mukah dan Samalaju.
- Secara keseluruhan 11 kawasan tidak sihat, 46 berada pada tahap sederhana dan satu kawasan catat bacaan baik.
Data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS), dalam kemas kini setakat 11 malam memaklumkan, empat lagi kawasan yang mencatatkan bacaan IPU pada tahap berbahaya masing-masing, Kuching (387), Samarahan (357), Sri Aman (344) dan Sarikei (307).
Tiga kawasan lain di Sarawak pula mencatatkan bacaan pada tahap sangat tidak sihat, iaitu Sibu (270), Mukah (218) dan Samalaju (205).
Sementara itu, 11 kawasan mencatatkan bacaan IPU tidak sihat dengan Bintulu di Sarawak mencatatkan bacaan tertinggi, iaitu 191, diikuti Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri dan Miri masing-masing 180 dan 178 serta Kapit (171).
Turut mencatatkan bacaan tidak sihat ialah Labuan (166), Limbang, Sarawak (162) dan Kota Kinabalu (157), manakala di Kimanis dan Keningau, Sabah masing-masing mencatatkan 153, sementara di Sungai Petani, Kedah (145) dan Seberang Perai, Pulau Pinang (121).
Sementara itu, 46 kawasan di seluruh negara dilaporkan berada pada tahap sederhana dan satu kawasan mencatatkan bacaan baik.
Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan IPU melebihi 300 adalah berbahaya.