
KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Penganjuran bengkel persediaan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bersempena Hari Kebangsaan membawa mesej penting supaya semangat cinta akan negara terus disemai dalam kalangan generasi muda.
- Fenomena PKSK Merdeka 2026 dianjurkan terbesar, disertai 400 pelajar Tahun Lima dan Enam dari seluruh negara, berlangsung dua hari.
- Program memberi tumpuan persediaan kemasukan ke SBP, MRSM, SMKA dan sekolah khusus lain.
- Menurut pengasas, program Fly High membantu kira-kira 70 hingga 80 peratus pelajar konsisten mencapai sasaran.
- Siri keenam itu sertakan sesi motivasi; bengkel seterusnya 19-20 Sept, persediaan akhir 3-4 Okt sebelum PKSK 7 Okt.
Pengasas Fly High Education Centre (Fly High), Wan Rafidah Wan Ali berkata, semangat patriotik diterapkan menerusi sambutan bersama peserta dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan menyanyikan lagu Negaraku.
“Kita memang menyambut Hari Kebangsaan bersama anak-anak, bersama bendera dan menyanyikan lagu Negaraku supaya kita dapat menyemarakkan semangat cinta akan negara yang kadang-kadang kita lihat semakin kurang dalam kalangan anak-anak zaman sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas pengajuran terbesar Fenomena PKSK Merdeka 2026 yang disertai 400 pelajar Tahun Lima dan Tahun Enam dari seluruh negara dan berlangsung selama dua hari, di sini.
Program itu memberi tumpuan kepada persediaan pelajar yang menyasarkan kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan sekolah khusus lain.
Wan Rafidah berkata, beliau berharap semua peserta dapat merealisasikan impian untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah pilihan, termasuk SBP, SBPI, MRSM Ulul Albab, MRSM Bitara dan SMKA terpilih.
“Biasanya, berdasarkan program Fly High, kira-kira 70 hingga 80 peratus pelajar yang mengikuti kelas secara konsisten berjaya mencapai sasaran mereka,” katanya.
Menurutnya, bengkel itu merupakan siri keenam yang dianjurkan sempena Hari Kebangsaan setiap tahun, dengan penyertaan pelajar dari Sarawak, Kelantan, Terengganu, Perak dan Johor.
PKSK merupakan pentaksiran bagi proses kemasukan ke sekolah khusus selepas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan pada 2020.
Selain sesi pembelajaran bersama tenaga pengajar Fly High, program turut disusuli pengisian motivasi bagi meningkatkan keyakinan dan kesediaan peserta menghadapi PKSK.
Bengkel seterusnya dijadualkan pada 19 dan 20 September, diikuti sesi persediaan akhir pada 3 dan 4 Oktober sebelum PKSK bermula pada 7 Oktober.