fb fb fb fb fb

Peniaga lega, masalah air bertakung sejak 10 tahun selesai

IPOH, 29 Mac- Seramai 149 peniaga di tapak bazar Ramadan Taman Perpaduan, Ulu Kinta menzahirkan rasa syukur apabila dapat menjalankan perniagaan dengan selesa selepas kerja-kerja naik taraf tapak berkenaan selesai dilakukan.

Sejak 10 tahun lalu, peniaga berhadapan kesukaran apabila air sering bertakung di kawasan itu, selain permukaan berpasir dan tidak rata.

Namun masalah berkenaan diselesaikan apabila tapak tersebut siap diturap sepenuhnya sebelum Ramadan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, kerja-kerja naik taraf terbabit menelan kos hampir RM220,000 melibatkan kawasan sepanjang 5.3 kilometer.

"Dari depan sampai ke hujung, seluruh kawasan ini ditambah baik.

Pada mulanya kami minta untuk selesaikan masalah air bertakung sahaja, namun syukur keseluruhan kawasan ini telah ditambah baik," katanya ketika hadir ke bazar Ramadan tersebut di sini.

(Muhamad Arafat Varisai Mahamad, ADUN Ulu Kinta)

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja-penjaja Kecil Melayu, Pasar Malam Bergerak bahagian Kinta menyambut baik inisiatif berkenaan demi keselesaan peniaga dan pengunjung.

"Saya amat gembira kerana kita minta sedikit sahaja, tetapi dapat semua.

Satu bazar Ramadan semua diturap habis dalam masa tiga hari," katanya.

Media Baharu