fb fb fb fb fb

Peniaga didenda RM10,000, jual minyak masak melebihi harga kawalan

Foto Hiasan

TELUK INTAN, 18 Oktober- Seorang peniaga didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Teluk Intan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menjual minyak masak melebihi harga kawalan pada Mac lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamaluddin Ismail memaklumkan bahawa Rasina Mohamed Ajmul Khan, 34, turut diperintah menjalani hukuman penjara selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

“Tertuduh didapati menjual barangan harga terkawal, iaitu minyak masak kelapa sawit tulen dalam botol berkapasiti dua kilogram dengan harga RM13.50, melebihi harga runcit maksimum RM13.30 yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum).

“Kesalahan tersebut dilakukan di Kompleks Menara Condong, Teluk Intan, pada 27 Mac 2024,” katanya menerusi kenyataan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hasyutantee Khalil, manakala tertuduh tidak diwakili oleh peguam.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM