fb fb fb fb fb

Pengusaha khemah akan dipanggil, dapatkan kata sepakat - Nicole

Nicole Tan Lee Koon

SEREMBAN, 27 September- Pengusaha khemah di sekitar Pantai Telok Kemang, Port Dickson akan dipanggil dalam masa terdekat bagi mendapatkan kata sepakat dan perbincangan mengenai aktiviti perniagaan memasang khemah di kawasan pantai tersebut.

Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan Nicole Tan Lee Koon berkata, kerajaan negeri tidak boleh membuat keputusan terburu-buru, memandangkan isu berkenaan melibatkan sumber pendapatan dan mata pencarian penduduk setempat.

"Beberapa bulan lalu kami sudah tetapkan bahawa Pantai Cahaya Negeri dan Pantai Saujana tidak dibenarkan untuk membuka khemah.

"Kami juga terima pelbagai kritikan namun sekarang ini, kami tidak boleh membuat satu keputusan segera berkenaan pemasangan khemah di Telok Kemang. Kita memerlukan sedikit masa untuk menyelesaikan perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Perasmian Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) 2024 Negeri Sembilan, di sini.

Bagaimanapun perbincangan secara sepakat perlu diadakan bagi mendapatkan satu keputusan menang-menang.

Sebelum ini kerajaan negeri tidak membenarkan aktiviti perniagaan memasang khemah di Pantai Saujana dan Pantai Cahaya Negeri.

Dalam pada itu, sehingga September kedatangan pelancong domestik ke Negeri Sembilan merekodkan lebih 15 juta orang. Ia melebihi sasaran ditetapkan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI