fb fb fb fb fb

Penghuni rumah anak yatim teruja sertai latihan penyembelihan ayam ikut syarak

Penghuni rumah anak yatim dan fakir miskin di Batu Rakit, Terengganu diberi pengalaman berharga apabila berpeluang mengikuti pendedahan secara praktikal kaedah penyembelihan dan pemprosesan ayam mengikut syarak

KUALA NERUS, 6 September - Penghuni rumah anak yatim dan fakir miskin di Batu Rakit, Terengganu diberi pengalaman berharga apabila berpeluang mengikuti pendedahan secara praktikal kaedah penyembelihan dan pemprosesan ayam mengikut syarak, semalam.

Program itu dikendalikan Jabatan Hal Ehwal Islam Terengganu dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), sebagai sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) agensi terbabit.

Pengarah PERKESO Terengganu, Fariha Che Husin berkata, program seumpama ini bukan sahaja memberi ilmu fardu kifayah, malah turut mengeratkan hubungan silaturahim antara pihak agensi dan pelajar.

“Sebenarnya kita hendak adakan aktiviti yang merapatkan ukhuwah antara pelajar dan kita sebagai anggota PERKESO. Kalau tidak ada aktiviti sebegini, CSR kita tidak akan meriah. Jadi, program ini melibatkan semua pihak,” katanya.

Sementara itu, Pengetua Asrama Darul Akhyar, Ahmad Irsyad Mustaqim Zamri menyifatkan pendedahan itu penting kerana jarang sekali pelajar berpeluang mendalami ilmu penyembelihan.

“Jarang diberi pendedahan berkenaan ibadah sembelihan ini. Insya-Allah dengan usaha PERKESO, ia dapat mencungkil minat pelajar untuk mendalami ilmu sembelihan yang kini agak sukar mendapatkan penyembelih bertauliah,” ujarnya.

Bagi salah seorang penghuni, Muhammad Ammar Irfan Safruddin, pengalaman itu memberi keyakinan kepada mereka untuk membantu keluarga pada masa akan datang.

“Suatu hari nanti kita mesti akan bertanggungjawab menyembelih. Jadi pada bulan Raya Haji nanti, kita boleh tolong keluarga tanpa bantuan orang lain kerana banyak yang telah kita belajar di sini,” katanya teruja.

Dalam pada itu, Fariha turut memaklumkan sejak 2017, seramai 37 anak yatim berusia antara empat hingga 17 tahun di seluruh Terengganu telah dipilih sebagai anak angkat PERKESO, dengan jaminan kebajikan dan pendidikan mereka terpelihara sehingga berumur 17 tahun.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE