BDR & pelarasan BUDI95: Peranan majikan dan pekerja

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Majikan perlu galakkan BDR 2 atau 3 hari, pengangkutan awam atau carpooling untuk kurangkan kos pengangkutan dan penggunaan bahan api.
  • Adakan perbincangan harmoni majikan-pekerja, beri sokongan emosi, maklumat dan insentif bagi meringankan beban kos dan tingkatkan komitmen.
  • Laksana mekanisme kawalan realistik semasa BDR seperti rekod kehadiran atau Surat Aku Janji untuk pastikan kepercayaan dan tadbir urus.

Bermula 1 April 2026, kerajaan Malaysia melaksanakan pelarasan kuota subsidi BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan. Kuota subsidi bahan api ini dinikmati oleh setiap pemegang lesen memandu warganegara Malaysia.

Pelarasan terbaharu ini pastinya memberi kesan langsung kepada golongan pekerja terutamanya yang menggunakan kenderaan untuk berulang alik ke tempat kerja dan bergantung kepada subsidi bahan api tersebut.

Dalam menghadapi perubahan ini, peranan majikan amat penting dalam memastikan golongan pekerja, terutamanya mereka yang bekerja dalam jarak yang jauh ke tempat kerja mahupun mereka yang terlibat dengan sektor yang memerlukan pergerakan tinggi, agar tidak terbeban dengan kesan pelarasan ini.

Majikan Sebagai Penyokong Pekerja

Sebagai pemimpin organisasi, majikan memainkan peranan penting dalam membantu pekerja menyesuaikan diri dengan pelarasan ini. Ramai pekerja di Malaysia yang menggunakan kenderaan persendirian untuk ke tempat kerja atau untuk menjalankan tugas di luar pejabat.

Bagi golongan ini, pengurangan subsidi bahan api boleh meningkatkan kos sara hidup mereka. Sebagai langkah mitigasi, majikan boleh melihat beberapa alternatif untuk meringankan beban pekerja mereka.

Bagi majikan yang terlibat dalam perniagaan yang memerlukan pekerja bergerak aktif, majikan boleh memainkan peranan dengan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam atau carpooling di antara rakan sekerja.

Langkah tersebut amat membantu dalam mengurangkan kos bahan api dan menjimatkan penggunaan rezab bahan api negara.

Majikan boleh melaksanakan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) 2 atau 3 hari seminggu sebagaimana yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan. Dengan cara ini ia dapat menjimatkan kos utiliti syarikat dan dalam masa yang sama mengurangkan bebanan kos pengangkutan pekerja.

Cara ini ia adalah jalan selamat (win-win situation) kepada majikan, pekerja dan negara dalam membantu mengawal rezab bahan bakar negara.

Majikan juga boleh menyediakan insentif seperti elaun pengangkutan awam untuk menggalakkan pekerja menggunakan perkhidmatan awam sekiranya ia bersesuaian.

Langkah tersebut bukan sahaja membantu pekerja mengurangkan perbelanjaan, tetapi juga menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dengan mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya.

Alternatif yang dicadangkan dilihat seiring dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail melalui hantarannya di Facebook, tentang keperluan pengguna menyusun semula perjalanan, mengelakkan pemanduan yang tidak perlu, mengamalkan ‘carpool‘ dan menggunakan pengangkutan awam.

Menurutnya lagi kos ditanggung kerajaan bagi mengekalkan harga RON95 kini melonjak enam kali ganda, daripada RM700 juta kepada RM4 bilion sebulan, dan jumlah itu terlalu besar untuk “dibakar di atas jalan raya”.

Menekankan Kepentingan Pemahaman dan Sokongan Majikan – Pekerja

Dalam mendepani cabaran pelarasan kuota BUDI95 ini, golongan pekerja amat mengharapkan, sokongan mental, emosi dan tidak kurang juga ada yang mengharapkan insentif daripada pihak majikan untuk mengurangkan bebanan mereka.

Oleh itu pendekatan perbincangan di antara majikan dengan pekerja dapat memberikan ruang kepada pekerja untuk meluahkan kebimbangan mereka dapat menghadapi peningkatan kos ini.

Dengan cara ini majikan dan pekerja dapat berbincang secara harmoni dalam mendapatkan maklumat mengenai langkah-langkah yang sesuai diambil oleh majikan untuk membantu mereka.

Ini adalah bukti majikan memperlihatkan sokongan kebajikan mereka terhadap kesejahteraan pekerja. Pekerja yang merasa didengar dan dihargai lebih cenderung untuk terus memberikan komitmen kepada majikan, yang akhirnya memberi kesan positif kepada produktiviti dan kualiti kerja.

Kawalan Pekerja Semasa Tempoh BDR

Tidak dinafikan wujud isu kepercayaan majikan terhadap pekerja dalam tempoh BDR. Pengalaman lalu melalui Perintah Kawalan Pergerakan semasa COVID19 boleh diubahsuai untuk membentuk peraturan kawalan pergerakan pekerja semasa tempoh BDR.

Satu mekanisme kawalan yang sesuai boleh dilaksanakan oleh majikan seperti Surat Aku Janji Kawalan Pergerakan Majikan-Pekerja atau melalui sistem rekod kawalan kehadiran Majikan-Pekerja yang telah sedia ada. Peraturan tersebut haruslah diperhalusi agar ia realistik dan tidak membebankan majikan mahupun pekerja.

Menyokong Pekerja Demi Kelestarian Organisasi

Pelarasan subsidi BUDI95 yang dilakukan oleh kerajaan boleh memberi impak kepada pekerja, khususnya yang bergantung kepada bahan api untuk ke tempat bekerja. Dalam hal ini, peranan majikan adalah sangat penting dalam memastikan pekerja tidak terbeban.

Sama ada melalui pemberian elaun bahan api tambahan, galakan menggunakan pengangkutan awam, atau menyediakan insentif kewangan yang bersesuaian.

Majikan perlu beradaptasi dengan perubahan ini dengan bijak. Kesejahteraan pekerja bukan sahaja penting untuk kehidupan mereka, tetapi juga memberi kesan positif kepada organisasi secara keseluruhan.

Dalam menghadapi cabaran ini, majikan yang prihatin akan memupuk hubungan kerja yang lebih kuat, sekali gus memperkukuhkan kecekapan dan produktiviti syarikat kini dan pada masa hadapan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr. Norhanizah Johari
Pensyarah Perakaunan
Fakulti Ekonomi Perakaunan Dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor
E-mel: norhanizah@uis.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.