fb fb fb fb fb

Pengeluaran telur khas gred C dipertingkat, harga dijamin stabil

Pengeluaran telur khas gred C akan dipertingkatkan bagi menampung permintaan pasaran / Foto Hiasan / Bernama

KUALA TERENGGANU, 4 Mei — Pengeluaran telur khas gred C akan dipertingkatkan bagi menampung permintaan pasaran dan menjamin kestabilan harga telur tempatan susulan penamatan subsidi pada Ogos depan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata telur keluaran khas yang diperkenalkan pada harga RM5 sepapan (30 biji) ketika bulan Ramadan lalu mendapat sambutan menggalakkan.

Langkah itu, jelas beliau, bertujuan mengelakkan sebarang kenaikan harga secara mendadak selepas penamatan subsidi secara beransur-ansur.

“Ini pun kita panggil ‘soft landing’, bukan tarik mengejut. Bulan Mei ini kita batalkan 5 sen. Untuk bulan Ogos akan datang, lagi 5 sen. Maka harga telur ayam, saya yakin insya-Allah tidak akan melambung.

“Kita juga hendak memperbanyakkan keluaran telur khas yang lebih murah. Yang bulan Ramadan baru ini, sampai satu papan RM5 pun ada. Barangkali, kali ini tidak tahulah harga macam mana, tapi kita yakin tidak akan naik melambung,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Rumah Terbuka Pakatan Harapan Negeri Terengganu di Terengganu Equestrian Resort (TER), di sini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN