
KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menghentikan serta-merta pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun, sehingga isu diselesaikan dengan syarikat penerbangan dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
- Pemegang PMA melebihi 10 tahun diberikan keutamaan penggantian pasport tanpa bayaran.
- JIM mengeluarkan notis kepada semua syarikat penerbangan untuk membantu rakyat Malaysia terjejas di luar negara.
- JIM tetapkan tempoh sah laku maksimum PMA 10 tahun untuk menyeragam dan mengelak kekeliruan keperluan tambahan enam bulan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata, sebagai langkah penyelesaian, pemegang PMA dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun akan diberikan keutamaan untuk urusan penggantian pasport tanpa bayaran.
Beliau berkata, JIM turut mengeluarkan surat pemberitahuan kepada semua syarikat penerbangan bagi membantu rakyat Malaysia yang terjejas ketika berada di luar negara.
“Bagi menangani kekeliruan ini, jabatan menetapkan bahawa tempoh sah laku maksimum bagi PMA adalah selama 10 tahun sahaja.
“Penetapan ini bertujuan menyeragamkan tempoh sah laku PMA serta mengelakkan kekeliruan berkaitan keperluan tambahan tempoh sah laku enam bulan yang ditafsirkan secara berbeza oleh sesetengah syarikat penerbangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Datuk Zakaria berkata, JIM mengambil maklum isu tular membabitkan beberapa pemegang PMA dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun yang menghadapi kesulitan untuk melakukan perjalanan ke luar negara.
Katanya, JIM sebelum ini sudah merujuk perkara itu kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan maklum balas yang diterima tidak menghalang pelaksanaan PMA dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun.
Bagaimanapun, beliau berkata, kekeliruan timbul apabila beberapa pemegang pasport terbabit menghadapi masalah ketika proses daftar masuk dengan syarikat penerbangan tertentu di luar negara.
Isu itu sebelum ini tular di media sosial susulan dakwaan seorang pengembara Malaysia berdepan kesulitan berkaitan tempoh sah laku pasport ketika berada di Dubai, Johannesburg dan Windhoek.
Wanita berkenaan menerusi perkongsian di Threads mendakwa, sistem yang digunakan pihak berkuasa atau syarikat penerbangan tertentu tidak dapat menerima pasport dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun.
Sebelum ini, JIM telah melancarkan struktur baharu PMA dengan tempoh sah laku sehingga 10 tahun berkuat kuasa 1 Julai lalu.
Pengenalan PMA 10 tahun bertujuan mengurangkan kekerapan pembaharuan pasport, menjimatkan masa pengguna serta memudahkan urusan perjalanan dalam dan luar negara.