
KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Pemerkasaan tadbir urus perlu terus diberi keutamaan bagi memastikan pengurusan Tabung Haji (TH) kekal kukuh, selain menjamin kepentingan para pendeposit terus terpelihara susulan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH.
- Kepentingan tadbir urus bermula dengan pelantikan ahli lembaga dan pengurusan tertinggi yang bertanggungjawab.
- Integriti dan amanah pengurusan kunci mengekalkan keyakinan pendeposit TH.
- Pendedahan laporan RCI menimbulkan kebimbangan pendeposit, perlu diatasi dengan tindakan transparan.
- Lebih 75 peratus syor RCI dilaksanakan; komitmen untuk menyelesaikan baki syor yang masih dalam pelaksanaan.
Pengerusi Pusat Pengajian Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Hairunnizam Wahid berkata, tadbir urus merupakan antara aspek utama yang perlu diberi perhatian dalam usaha memperkukuh semula pengurusan TH.
“Tadbir urus ini sangat penting dan ia bermula daripada pelantikan ahli lembaga serta pihak pengurusan tertinggi yang menguruskan TH.
“Seperti yang kita ketahui, TH merupakan entiti yang menjaga kepentingan para pendeposit, yang majoritinya terdiri daripada golongan B40 dan menyimpan wang untuk menunaikan ibadah haji.
“Jadi, perkara yang sangat penting dan perlu diberi perhatian ialah usaha kerajaan untuk memperbaiki semula pengurusan TH dengan memberi tumpuan kepada aspek tadbir urus tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.
Beliau berkata, aspek integriti dan amanah dalam pengurusan turut penting bagi memastikan keyakinan pendeposit terhadap TH terus terpelihara.
Menurutnya, pendedahan laporan RCI juga mungkin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pendeposit terhadap pengurusan TH.
“Apabila kita melantik pihak pengurusan yang berintegriti dan amanah, sebenarnya itulah kunci kepada keyakinan pendeposit untuk terus menyimpan wang dalam TH.
“Amanah dan tadbir urus merupakan perkara yang sangat penting bagi meningkatkan keyakinan para pendeposit yang mungkin berasa tergugat atau bimbang susulan pendedahan laporan RCI yang agak mengejutkan ini,” katanya.
Katanya, lebih 75 peratus daripada syor RCI berkaitan Lembaga TH telah dilaksanakan bagi memperkukuh tadbir urus dan kedudukan institusi itu.
TH turut memberi komitmen untuk menyelesaikan baki syor relevan yang kini dalam pelaksanaan.