Pengamal media tidak akan didakwa sewenang-wenangnya – PM

Perdana Menteri menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Julai – Kerajaan memberi jaminan pengamal media tidak akan disiasat atau didakwa sewenang-wenangnya, sebaliknya sebarang aduan terhadap mereka perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Majlis Media Malaysia (MMM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Mekanisme diwujudkan supaya tindakan terhadap wartawan lebih adil dan berpandukan proses yang dipersetujui.
  • Tiada undang-undang memberikan kebebasan mutlak kepada media; kerangka undang-undang tetap mengawal batasan liputan.
  • Sebelum ini tiada kes terhadap pengamal media sepanjang setahun walaupun terdapat laporan yang tidak disenangi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, mekanisme itu diwujudkan bagi memastikan tindakan terhadap wartawan dibuat secara lebih adil dan berlandaskan proses yang dipersetujui.

“Soal yang dibangkitkan kerangka undang-undang. Saya tahu tidak ada undang-undang di dunia yang memberi kebebasan mutlak kepada semua media untuk nyatakan apa sahaja. Tidak ada.

“Sebab itu sekarang ini ada Majlis Media Malaysia (MMM) kalau ada pandangan mengenai pengamal media. Setahun yang lalu tidak ada kes langsung berkaitan mereka walaupun terdapat laporan yang tidak disenangi ramai pihak.

“Namun keputusan kita mewujudkan majlis media ini memudahkan kerana sekiranya terdapat mana-mana keterlanjuran oleh media, mereka akan dirujuk pada MMM,” katanya.

Datuk Seri Anwar berkata demikian pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, di bawah mekanisme baharu itu, sebarang dakwaan berkaitan pengamal media daripada organisasi yang berdaftar perlu dirujuk kepada MMM sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.