
KULIM, 7 Julai – Sisa pembakaran dalam ladang kelapa sawit dipercayai menjadi punca pencemaran bau di kawasan Taman Puteri , Padang Serai.
- JAS Kedah menerima 13 aduan mengenai bau busuk pada 3 dan 4 Julai melalui sistem e-Aduan.
- Siasatan menemui sisa pembakaran yang mengandungi plastik, gentian kaca, kertas, pakaian terpakai, konkrit dan sampah domestik.
- Bomba memadam saki baki longgokan sampah yang masih berasap; JAS terus memantau dan meronda malam, tiada punca lain dikenal pasti.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar Kedah (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima sebanyak 13 aduan menerusi sistem e-Aduan pada 3 dan 4 Julai lalu berhubung pencemaran bau busuk itu.
Hasil siasatan JAS Kedah melalui Cawangan Kulim menemukan sisa pembakaran yang dipercayai mengandungi buangan plastik, gentian kaca, kertas, pakaian terpakai, konkrit serta sampah domestik.
Beliau berkata, bomba dari balai Bomba dan Penyelamat Hi-Tech Kulim kemudian dipanggil bagi memadamkan saki-baki longgokan sampah yang masih berasap.
“JAS turut memantau meronda pada waktu malam bagi mengesan kemungkinan terdapat punca lain pencemaran bau, namun tiada punca lain dikenal pasti,” menurut kenyataan itu.
“JAS Kedah akan terus memantau kawasan berkenaan,” tegasnya lagi.
Baru-baru ini, penduduk kawasan berkenaan mengadu terhidu bau busuk yang dipercayai berpunca daripada pembakaran bahan kimia, getah, plastik serta menyerupai bau gas kimpalan terutama pada waktu malam hingga awal pagi.
Sekali gus, menjejaskan keselesaan mereka.