
KUALA LUMPUR, 7 Julai – Kerajaan menyediakan kemudahan pembiayaan dan jaminan melebihi RM15 bilion bagi membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang berdepan cabaran susulan landskap ekonomi global semasa.
- Kerajaan memantau perkembangan geopolitik dan impak terhadap ekonomi, khususnya peniaga kecil dan PMKS.
- Tumpuan kepada memperluas akses pembiayaan, mengurangkan kos perniagaan dan memperkukuh daya saing PMKS.
- Program Pengakuan Sukarela e-Invois hingga 31 Disember 2027: pembetulan tidak dikenakan penalti oleh LHDN.
- Pelaksanaan e-Invois kurangkan ketirisan cukai; lebih 50,000 pembayar cukai buat bayaran tambahan RM1 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan terus memantau rapat perkembangan geopolitik dunia serta impak terhadap ekonomi domestik, khususnya peniaga kecil dan PMKS yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.
Beliau berkata, langkah kerajaan kini adalah memberi tumpuan kepada tiga aspek utama iaitu memperluas akses pembiayaan, mengurangkan kos perniagaan dan memperkukuh daya saing PMKS.
“Ikhtiar tambahan mengurangkan kos pematuhan perniagaan, pertama, memperkenalkan Program Pengakuan Sukarela e Invoice sehingga 31 Disember 2027 bermakna sebarang kemaskini sepanjang tempoh ini semakan pembetulan yang dikemukakan, tidak akan dikenakan penalti oleh LHDN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lee Chuan How, pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengenai pelaksanaan e-Invois, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata sistem itu penting bagi mengurangkan ketirisan cukai dan meningkatkan pematuhan.
Setakat ini, lebih 50,000 pembayar cukai membuat bayaran cukai tambahan berjumlah RM1 bilion selepas pelaksanaan e-Invois.