Penerbangan komersial dibuka, tiada lagi rakyat Malaysia terkandas

Foto AFP

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Tiada lagi rakyat Malaysia yang terkandas di Asia Barat susulan operasi penerbangan komersial di rantau itu kembali beroperasi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rakyat Malaysia sebelum ini dilapor terkandas di Bahrain, Iraq, Lubnan, Oman, Qatar dan Arab Saudi.
  • Baki rakyat Malaysia di Jordan dan Syria berlepas dari Amman ke Kuala Lumpur awal pagi 16 Mac.
  • Wisma Putra dan MKN menasihatkan rakyat di Asia Barat berwaspada; Bilik Operasi Wisma Putra aktif 24 jam untuk bantuan.

Wisma Putra menerusi kenyataan memaklumkan, meskipun keadaan di rantau tersebut masih tidak stabil dengan aktiviti ketenteraan dilaporkan berlaku dalam tempoh 48 jam lalu, namun pembukaan semula laluan penerbangan komersial membolehkan rakyat Malaysia pulang ke tanah air.

“Ia melibatkan rakyat Malaysia yang sebelum ini dilaporkan terkandas di Bahrain, Iraq, Lubnan, Oman, Qatar dan Arab Saudi.

“Baki rakyat Malaysia di Jordan dan Syria juga telah berlepas dari Amman ke Kuala Lumpur awal pagi 16 Mac,” menurut kenyataan itu.

Di Emiriah Arab Bersatu (UAE), hanya beberapa individu masih menunggu penerbangan pulang manakala di Kuwait, dua rakyat Malaysia masih berada di negara itu dengan seorang dijadual pulang pada 31 Mac ini.

Wisma Putra dalam kenyataan sama turut memaklumkan bahawa semua rakyat Malaysia di Lubnan disahkan selamat termasuk anggota Angkatan Tentera Malaysia yang bertugas bersama Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL).

Dalam pada itu, Kementerian Luar turut mengesahkan kesemua kru dan anak kapal rakyat Malaysia bagi pelayaran komersial di Selat Hormuz, kini dalam kedudukan menunggu serta disahkan selamat.

Kementerian Luar bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut menasihatkan rakyat Malaysia yang masih berada di Asia Barat supaya terus berwaspada dan mematuhi arahan keselamatan negara terbabit.

Ini termasuk menangguhkan perjalanan ke kawasan terjejas seperti dinasihatkan kerajaan pada 5 Mac lalu.

Bilik Operasi Wisma Putra di Putrajaya kekal diaktifkan 24 jam bagi membantu rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan.