fb fb fb fb fb

Penemuan 528 kg dadah di Padang Besar bukan dalam kawasan FRIM

Sidang media oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din mengenai rampasan dadah di Padang Besar, 15 Januari lalu

KUALA LUMPUR, 19 Januari- Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) memaklumkan penemuan dadah jenis syabu seberat 528 kilogram (kg) bernilai RM19 juta di Padang Besar, Perlis yang dilaporkan media pada 15 Januari lalu bukan berada dalam kawasannya.

Ketua Pengarah FRIM Dr Ismail Parlan berkata, pihak polis telah membuat soal siasat terhadap kakitangan FRIM pada Selasa lepas dan didapati lokasi sebenar kejadian itu adalah di luar kawasan Stesen Penyelidikan FRIM, Mata Ayer.

"FRIM ingin menjelaskan bahawa laporan media mengenai kes penyimpanan 20 guni dadah jenis syabu yang dikatakan berlaku di Kawasan Hutan Simpan Persekutuan (Forest Reserve Institute Malaysia) baru-baru ini adalah kurang tepat.

“Selain itu, nama penuh bagi FRIM bukan ‘Forest Reserve Institute Malaysia’ tetapi ‘Forest Research Institute Malaysia’ atau dalam bahasa Melayu, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata FRIM amat menghargai peranan media dalam menyebarkan maklumat penting kepada masyarakat umum dan berharap pihak media akan membetulkan fakta berkenaan dalam laporan seterusnya berhubung kes itu.

“Pihak FRIM juga sentiasa bersedia untuk turut membantu pihak polis atas perkara berkenaan. Sebarang pertanyaan berkaitan FRIM, sila hubungi Unit Komunikasi Korporat (CCU) FRIM 03-6279 7555/7458 atau melalui e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.,” katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE