Penduduk terjejas banjir di Sarawak terus meningkat

Foto APM Sibu

KUCHING, 9 Januari – Jumlah penduduk terjejas banjir di Sarawak terus meningkat apabila sebanyak 13 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat pukul 11.00 pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • 13 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat pagi ini di beberapa daerah Sarawak.
  • Seramai 473 penduduk daripada 132 ketua isi rumah ditempatkan di PPS termasuk Miri, Bau, Siburan, Samarahan, Simunjan, Sibu.
  • APM Sarawak terus memantau keadaan dan mengingatkan penduduk berisiko supaya berwaspada serta patuhi arahan pihak berkuasa.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sarawak memaklumkan, seramai 473 penduduk terjejas daripada 132 ketua isi rumah (KIR) kini ditempatkan di PPS melibatkan daerah Miri, Bau, Siburan, Samarahan, Simunjan dan Sibu.

Di Miri, PPS Dewan Serbaguna SMK Berkenu menempatkan 72 penduduk terjejas daripada 26 KIR, dengan trend pemindahan menunjukkan penurunan.

Daerah Bau mencatatkan dua PPS aktif iaitu Dewan Serbaguna Kampung Bijuray Mongag, Krokong yang kekal menempatkan 87 orang, manakala PPS baharu dibuka di Dewan Serbaguna Kampung Blimbin Krokong melibatkan 64 orang.

Di Siburan, beberapa PPS menunjukkan peningkatan jumlah penduduk terjejas termasuk PPS ST Peter Simpok dan PPS Sekolah Kebangsaan Tanah Merah, selain pembukaan PPS baharu di Dewan Taman Duranda Emas dan Dewan Serbaguna Kampung Kerumboi.

Sementara itu, Samarahan dan Simunjan turut merekodkan pembukaan PPS baharu, manakala di Sibu, PPS Dewan Kampung Jeriah menempatkan enam penduduk terjejas daripada satu KIR.

APM Sarawak memaklumkan pemantauan berterusan sedang dilaksanakan dan orang ramai di kawasan berisiko dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa.