fb fb fb fb fb

Penduduk Negeri Sembilan mula 'Mantai'

Penduduk di Negeri Sembilan mula mendapatkan barangan keperluan sempena Mantai Ramadan

SEREMBAN, 10 Mac- Pasar Tani Taman Paroi Jaya menjadi lokasi tumpuan pengunjung bagi mendapatkan pelbagai barangan bagi membuat persiapan sempena Mantai Ramadan.

Tinjauan kru RTM mendapati, rata-rata pengunjung tiba seawal pukul 7.30 pagi.

Pengerusi Pasar Tani Paroi Jaya Saiful Mohamad Yunus berkata, pelbagai barangan keperluan lain turut dijual termasuk ayam daging, ayam kampung, itik salai dan daging salai.

"Dengan kita, ada jualan istimewa seperti daging dan ayam. Semua tempat kami ini ada daging salai, jangek (kulit haiwan bahagian tengkuk kerbau atau lembu yang dibakar), tulang.

"Itu yang membuatkan Negeri Sembilam istimewa kerana ia tiada di tempat tempat lain," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Sementara itu, bagi pengunjung, Norazah Muhammad, 50 tahun, daging atau tulang yang dibeli kebiasaannya akan dimasak dan disajikan sebagai juadah berbuka puasa bersama-sama keluarga tersayang. 

"Kalau Mantai, daging itu kita akan buat masak lemak, bahagian tulang pula akan dibuat sup. Kadang-kadang kita buat rendang. Kalau nak buat bekalan anak-anak nak balik kerja atau belajar, boleh simpan sikit," katanya.

Tradisi Mantai cukup popular dalam kalangan masyarakat Negeri Sembilan terutamanya menjelang Ramadan, sambutan Aidilfitri dan Aidiladha (hari raya Korban) termasuk melapah daging lembu atau kerbau. Ada juga yang membakar lemang secara bergotong-royong bersama-sama ahli keluarga.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI