LUNDU, 20 April - Pendidikan seks di Malaysia perlu diberi perhatian lebih serius, dengan pendekatan menyeluruh melibatkan sekolah, ibu bapa dan pelbagai agensi kerajaan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata isu pendidikan seks tidak boleh terus dianggap topik tabu, sebaliknya perlu dilihat sebagai satu elemen penting dalam pembentukan nilai dan perlindungan kanak-kanak serta remaja, terutamanya dalam dunia digital masa kini.
“Pendidikan seks memang sudah wujud dalam kurikulum sekolah, tetapi kandungannya sangat sedikit dan kurang ditekankan. Ini satu kekurangan yang perlu kita perbaiki segera,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI di Pusat Latihan Akademi Kenegaraan Sampadi di sini hari ini.
Perkara itu juga telah dibincangkan di peringkat tertinggi, termasuk dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan penglibatan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.
Nancy berkata isu itu bukan hanya menjadi tanggungjawab kementerian semata-mata, tetapi memerlukan pendekatan bersepadu dan yang paling penting membawa ibu bapa bersama dalam usaha mendidik anak-anak tentang nilai dan keselamatan diri.
"Sikap segan dalam kalangan guru untuk menyampaikan topik berkenaan kepada pelajar atau kekangan budaya juga menyebabkan topik itu hanya diajar sedikit meskipun ia telah dimuatkan dalam buku teks.
"Ini soal keselamatan dan kesejahteraan anak-anak, kita sedang teliti cara terbaik untuk mengatasi isu ini secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata kementerian juga akan memastikan program keibubapaan akan mengandungi elemen pendidikan seks bagi membantu ibu bapa berkomunikasi dengan anak-anak secara terbuka dan selamat mengenai topik berkenaan.
Baru-baru ini, seorang pegawai polis yang terdetik memeriksa telefon bimbit milik anak perempuannya berusia 14 tahun terkejut menemukan mesej berbaur seksual gadis itu bersama remaja lelaki.
- BERNAMA