
KOTA LAKSAMANA,17 Mei – Kota Laksamana menjadi Dewan Undangan Negeri (DUN) terakhir di Melaka yang bakal menerima bangunan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN).
- Peruntukan RM6.5 juta untuk pembinaan JAPERUN Kota Laksamana; projek dijangka siap sepenuhnya pada 2029.
- Pejabat JAPERUN dilengkapi kemudahan dewan serbaguna dan akan memberi kemudahan bantuan serta perkhidmatan kepada penduduk.
- Pejabat baharu dibina di kawasan Kota Laksamana Jaya; sebelum ini JAPERUN beroperasi di Balai Raya Kampung Morten.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pembinaan JAPERUN Kota Laksamana melibatkan peruntukan RM6.5 juta dan dijangka siap pada tahun 2029.
Menurut beliau, pembinaan itu akan memberi kemudahan kepada penduduk di Kota Laksamana dari pelbagai aspek bantuan serta perkhidmatan.
Selain pejabat, JAPERUN berkenaan turut dilengkapi kemudahan dewan serbaguna dan akan dibina di kawasan Kota Laksamana Jaya.
“Di negeri Melaka, Kota Laksamana merupakan satu-satunya kawasan yang masih belum mempunyai pejabat JAPERUN.
“Namun, kerajaan telah meluluskan pembinaan Pejabat JAPERU Kota Laksamana, yang merupakan antara keputusan hasil kesepakatan bersama.
“Insya-Allah, projek tersebut dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2029, iaitu dalam tempoh kira-kira tiga tahun dari sekarang,” kata beliau pada majlis perasmian Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Kota Laksamana di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pay Teck.
Hadir sama, Exco Kanan negeri, Datuk Rais Yasin dan ADUN Kota Laksamana, Low Chee Leong.
Mengulas lanjut, sebelum ini JAPERUN Kota Laksamana berada di Balai Raya Kampung Morten.